Penyajak Palestin dipenjara 5 bulan kerana didakwa menghasut


Penyajak Palestin, Dareen Tatour dipenjara lima bulan kerana menulis dan memuat naik sebuah sajak yang mengkritik pendudukan Israel di media sosial. – Gambar Facebook, 1 Ogos, 2018.

SEBUAH mahkamah Israel semalam menjatuhi hukuman penjara lima bulan ke atas seorang penyajak Palestin, Dareen Tatour kerana menulis dan memuat naik sebuah sajak yang mengkritik pendudukan Israel di media sosial, lapor agensi berita China Xinhua.

Tatour, yang berasal dari Al-Reineh berhampiran Nazareth di utara Israel, didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Israel di Nazareth kerana “melakukan hasutan dan menyokong sebuah organisasi pengganas”.

Wanita itu berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan mahkamah namun mengecam hukuman yang disifatkannya sebagai “tidak adil”.

Tatour berkata “tidak ada alasan untuk membicarakan saya sebenarnya,” serta menyifatkan penahanan serta pemenjaraan beliau oleh Israel sebagai bermotifkan politik.

“Demokrasi terhad kepada satu bangsa di negara ini,” katanya merujuk kepada diskriminasi terhadap penduduk berbangsa Arab di Israel.

Tatour menghabiskan masa selama beberapa bulan dalam penjara sebelum diletak di bawah tahanan rumah pada Januari 2016.

Beliau kemudian dibenarkan kembali ke rumah keluarganya namun hukuman tahanan dalam rumah diteruskan sehingga perbicaraan kes itu berakhir.

Tatour, yang ditahan pada 1 Oktober, 2015 didakwa pada November 2015 atas pertuduhan “menghasut ke arah melakukan keganasan dan menyokong sebuah organisasi pengganas”.

Hanan Ashrawi, seorang ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), pada Selasa mengutuk hukuman yang dijatuhi Israel ke atas Tatour.

“Tatour menggunakan haknya dalam kebebasan bersuara serta membantah kekejaman dan pendudukan tentera yang suka berperang,” kata Ashrawi dalam satu kenyataan.

“Namun Israel menuduh penyajak itu melakukan hasutan, sedangkan pendudukan (Israel) adalah satu bentuk hasutan yang paling teruk,” katanya. – Bernama, 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen