Malaysia tidak mohon ekstradisi Sirul, kata menteri Australia


Melati A. Jalil

Menteri Luar Australia Julie Bishop bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2018.

MALAYSIA tidak membuat sebarang permintaan ekstradisi terhadap bekas anggota polis Sirul Azhar Umar, yang kini ditahan di pusat tahanan imigresen Villawood di Sydney, kata Menteri Luar Australia Julie Bishop hari ini.

“Beliau berada dalam tahanan imigresen. Beliau ditahan di sana dan tiada permohonan untuk mengekstradisinya oleh kerajaan Malaysia. Dan itu disahkan Dr Mahathir baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan selama 30 minit dengan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada 8 Jun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak mengemukakan permintaan ekstradisi kepada Canberra untuk mengekstradisi Sirul.

Bishop, yang dalam lawatan tiga hari ke Malaysia, berkata kedudukan Australia dalam kes ekstradisi akan mengambil kira sama ada terdapat hukuman mati wujud atau tidak di negara yang memohon.

“Kami di dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sekarang dan penghapusan hukuman mati adalah salah satu tonggak kami.

“Itulah perkara yang sudah dibincangkan tetapi saya menegaskan sekali lagi tidak ada permohonan bagi ekstradisi dalam kes ini.”

Sirul, yang sedang mencari suaka di Sydney, dijatuhi hukuman mati berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006. Beliau melarikan diri ke Sydney pada 2015.

Sirul mendakwa beliau bertindak atas perintah dari atas, menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan yang baru berharap kepada kepulangannya untuk membantu siasatan baru terhadap kematian Altantuya.

Permintaan awal Malaysia untuk membawa pulang Sirul ditolak oleh Australia.

Sirul berkata beliau bersedia untuk memberitahu kebenaran di sebalik apa yang berlaku, dengan syarat diberi pengampunan penuh. Sirul, bersama bekas ketua inspektor Azilah Hadri, dijatuhi hukuman mati pada 2009.

Pada 2013, Mahkamah Rayuan membatalkan hukuman mereka ia kemudian kembalikan semula oleh Mahkamah Persekutuan.

Altantuya, 28, dipercayai ditembak sebelum tubuhnya diletupkan di hutan di Puncak Alam, Shah Alam. – 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen