Ikan jerung dicuri guna kereta sorong bayi


Gambar daripada kamera pengawasan Akuarium San Antonio menunjukkan suspek lelaki mencuri seekor ikan jerung dan membawanya keluar menggunakan kereta sorong bayi. – Gambar AFP, 1 Ogos, 2018.

POLIS Texas menemui seekor ikan jerung kecil yang diseludup keluar daripada akuarium dalam kereta sorong bayi, oleh tiga pencuri dengan salah seorang daripadanya sudah ditahan.

Polis menemui ikan itu pada awal Isnin, dua hari selepas ia dicuri dari Akuarium San Antonio pada waktu tengah hari.

Tiga pencuri kelihatan menerusi video rakaman kamera pengawasan sedang mengeluarkan jerung itu dari tempat pamerannya, meletakkan ia di dalam baldi dan membawanya keluar menggunakan kereta sorong bayi.

Mereka melarikan diri menggunakan trak berwarna merah ketika kakitangan pusat akuarium itu mengejar mereka.

Polis menemui trak itu dan maklumat yang diperoleh membawa polis ke sebuah rumah di Antone Shannon.

Seorang suspek berusia 38 tahun mengaku mencuri ikan itu dan didakwa atas kesalahan mencuri.

“Suspek ada banyak dan pelbagai haiwan marin di rumah itu,” kata Ketua Polis Leon Valley, Joseph Salvaggio.

Ikan jerung itu kini dalam keadaan baik dan dikuarantin. – AFP, 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen