Anwar masih pilihan nombor satu penyokong


Hujan tidak menghalang penyokong PKR mendengar ceramah ketua umum Anwar Ibrahim ketika berkempen untuk calon PRK Sg Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni di Jalan Kebun, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Ogos, 2018.

PENYOKONG PKR yang ditemui di program ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Kandis malam tadi berkata Anwar Ibrahim masih pemimpin yang mereka mahu untuk menerajui Malaysia dalam tempoh dua tahun lagi.

Ceramah malam tadi menjadi pentas pertama Anwar selepas kembali dari Turki untuk mendapatkan rawatan kerana kecederaan di belakangnya, dan penampilan politik keduanya sejak bebas dari penjara, 16 Mei lalu.

Anwar akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, dalam tempoh dua tahun lagi.

Seorang penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Man, berkata beliau yakin dengan Anwar untuk menjadi perdana menteri selepas ini.

“Saya rasa sekarang Anwar akan mampu memperbaiki kerajaan.”

Seorang lagi penyokong, Kai berkata sudah tentu beliau mahu Anwar jadi perdana menteri dalam tempoh dua tahun lagi.

Anwar yang juga ketua umum PKR akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi, jawatan yang pada masa ini dipegang isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Populariti Anwar memang tidak dapat disangkal, apabila ramai yang ditemui berkata mereka datang ke program ceramah itu hanya untuk melihat pemimpin itu berucap.

Hujan lebat tidak menghalang kira-kira 700 penyokong berkumpul untuk melihat Anwar kembali ke pentas politik.

Anwar berkempen untuk calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni di PRK Sg Kandis yang akan menentang Lokman Adam daripada Barisan Nasional dan seorang lagi calon bebas.

Kerusi DUN itu kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai kerana kanser. PRK Sg Kandis akan diadakan pada 4 Ogos. – 1 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen