SERAMAI 11 orang, termasuk seorang askar dan lima militia, terbunuh dalam insiden letupan bom kereta pada Selasa di pulau Basilan selatan Filipina, menurut tentera, lapor Xinhua.
Tentera berkata serangan berlaku pada pukul 5.50 pagi di sebuah kampung di Bandar Lamitan, Basilan, sebuah pulau di wilayah Mindanao.
Sebuah “van putih” diletupkan ketika di pusat pemeriksaan tentera di kampung Colonia, Bandar Lamitan.
Jurucakap Angkatan Tentera Filipina (AFP) Gerry Besana, berkata letupan mengakibatkan seorang askar, lima militia, empat orang awam dan pemandu van maut di tempat kejadian.
Enam lagi tentera dan seorang militia cedera, katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kanan AFP, Carlito Galvez dalam satu kenyataan berkata, sama ada kes itu serangan pengebom bunuh diri atau bukan, masih belum dapat dipastikan.
Insiden tersebut turut menerima kecaman kerajaan Filipina, kata Jurucakap Presiden Filipina, Harry Roque.
Katanya, pihak berkuasa sedang menyiasat insiden itu dan berjanji mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.– Bernama, 31 Julai, 2018.
Komen