SEORANG kanak-kanak Afghanistan yang dipaksa supaya berkahwin dengan seorang lelaki yang berusia dua kali ganda usianya, didera sehingga mati oleh suaminya dipercayai akibat dendam, kata pegawai pada Selasa.
Mayat kanak-kanak perempuan bernama Hameya, yang dianggar berusia antara tujuh dan 10 tahun oleh pihak berkuasa itu, dijumpai pada malam Ahad, kata Naqibullah Amini, jurucakap polis daerah barat laut Badghis.
Suami Hameya melarikan diri daripada polis dan ayah kanak-kanak tersebut telah ditahan untuk soal siasat, tambah Amini.
Jurucakap gabenor wilayah Jamshid Shahabi berkata Hemaya dikahwinkan mengikut tradisi yang dikenali sebagai “badal”, iaitu individu perempuan ditukarkan antara kedua-dua keluarga sebagai pengantin.
Badal membolehkan kedua-dua keluarga mengurangkan kos perkahwinan dengan tidak membayar mas kahwin.
Selepas perempuan seorang lagi dibunuh oleh suaminya sendiri, suami Hameya mula menderanya sebagai balas dendam dan membunuhnya, kata Shahabi kepada AFP.
Suami Hameya, yang dikatakan pegawai berumur antara 20 dan 30 tahun, sudah mempunyai sekurang-kurangnya seorang isteri, menurut Lailuma Noorzad, ketua jabatan hal ehwal wanita wilayah.
Hameya sudah berkahwin selama enam bulan, kata pegawai.– AFP, 31 Julai, 2018.
Komen