Jangan guna Dewan Negara untuk sabotaj pelaksanaan SST, kata Guan Eng


Melati A. Jalil

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng menggesa senator Barisan Nasional (BN) agar tidak mensabotaj rancangan kerajaan untuk melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 September.

Beliau berkata keputusan rakyat harus dihormati kerana Pakatan Harapan sudah berjanji untuk menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan sistem cukai tersebut.

“Apabila anda bercakap tentang sengaja melambatkan atau mensabotaj program kami supaya kami tidak dapat mencapai lebihan yang kami mahukan melalui pelaksanaan SST, saya fikir ia sangat licik bukan?

“Di satu pihak anda mengatakan ‘kami membenarkan anda’ untuk menghapuskan GST tetapi sebaliknya anda tidak membenarkan kami menggantikannya dengan SST.

“Ini sangat mementingkan diri sendiri dan percubaan sabotaj dan menyebabkan kegagalan program ekonomi kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan harus diberi laluan untuk melaksanakan program yang bukan sahaja menguntungkan rakyat malah memastikan kewangan fiskal negara kekal mampan.

“Jangan cuba untuk menggagalkan atau mensabotaj program atau dasar kerajaan persekutuan,” katanya, sambil menambah bahawa kewangan negara akan terjejas jika SST tidak dapat dilaksanakan pada 1 September.

BN mempunyai 29 senator dalam Dewan Negara, sementara PH mempunyai enam senator dan parti politik lain mempunayi 16 senator. 19 kerusi senator masih kosong.

Walaupun Dewan Negara tidak ada kuasa menolak rang undang-undang (RUU), ia mempunyai kuasa untuk meluluskan dan menyerahkan semula RUU itu ke Dewan Rakyat bagi tujuan pindaan. Jika perkara itu berlaku, ia akan melambatkan pembaharuan yang ingin dibawa PH.– 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen