PEWARIS takhta Britain Putera William dan adiknya Harry mendedahkan ada bercakap dengan ibu mereka, Puteri Diana pada hari kematian wanita terkenal itu dan perbualan “ringkas” itu sentiasa menjadi kenangan dan kekesalan mereka.
“Dia telefon dari Paris, saya tidak begitu ingat apa yang saya cakap padanya tetapi apa yang saya tahu ialah saya menyesalinya seumur hidup kerana perbualan telefon itu terlalu sekejap,” kata Putera Harry pada ITV dalam satu rakaman dokumentari mengenang Diana.
Putera William berumur 15 tahun dan Harry, 12, ketika Diana dan teman lelakinya Dodi Al-Fayed terbunuh pada Ogos 1997 selepas kereta mereka terbabas di sebuah terowong di tengah Paris ia dikejar paparazi.
Pemandu mereka Henri Paul turut maut dan hasil kajian kemudiannya mendapati kandungan alkohol dalam darahnya tinggi.
Pada masa itu, kedua-dua putera berada di Balmoral, kediaman ratu di Scottish Highlands, dan pada awal hari itu, William memberitahu Diana mereka sedang bergembira di sana.
“Saya dan Harry cepat-cepat mahu mengucapkan selamat tinggal, kata ‘jumpa nanti’ pada dia. Jika saya tahu apa yang akan berlaku, saya tidak akan tergesa-gesa.
“Tetapi panggilan telefon itu melekat dalam fikiran saya,” kata William kepada ITV.
Sebagai mengenai 20 tahun kematian Diana, kedua-dua putera itu pada awal tahun ini mengumumkan mereka menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengutip dana bagi membina tugu Diana, yang dikenali sebagai Puteri Wales.
Tugu itu akan didirikan di taman awam di Istana Kensington, London, yang juga kediaman Diana.
Dokumentari bertajuk “Diana, ibu kami, hidupnya dan legasi” itu akan disiarkan di UK pada Isnin. – AFP, 23 Julai, 2017.
Komen