PRESIDEN Donald Trump sekali lagi mengugut untuk menutup kerajaan persekutuan, selepas ancaman sama pada Sabtu lalu mengundang kritikan, lapor Xinhua.
“Saya tidak ada masalah untuk arahkan tutup, selepas tahun demi tahun bercakap mengenai keselamatan semata-mata,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte, yang melawat negara itu.
Bagaimanapun, menurut Trump di sebalik ugutan itu, beliau tetap sedia untuk berunding.
Trump berkata, Kongres Amerika seharusnya meluluskan lebih banyak dana bagi membina tembok di sempadan dan merombak sistem visa Amerika, suatu yang beliau dakwa sebelum ini membolehkan ramai pendatang menyusup masuk ke negara itu.
Kenyataan itu dibuat selepas beberapa siri twitter pada Ahad lalu mengutuk Parti Demokrat yang menguasai kongres, kerana menghalang pembaharuan imigresen dan menambah pembiayaan kawalan sempadan.
Pada April lepas,Trump dilaporkan berkata akan menutup kerajaan persekutuan pada September jika kongres gagal menyediakan dana yang lebih untuk membina tembok di sempadan Mexico.– Bernama, 31 Julai, 2018.
Komen