PUTRAJAYA berhak menentukan corak penstrukturan semula Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) kerana ia merupakan anak syarikat milik kerajaan, kata Tengku Razaleigh Hamzah.
Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan mempunyai kuasa prerogatif untuk menstruktur semula syarikat-syarikat di bawahnya.
“Menurut perdana menteri, atau kenyataan kerajaan, ia membuka jalan untuk mereka menstruktur semula semua organisasi yang berkaitan kerajaan.
“Jadi saya merasakan kerajaan mempunyai kuasa prerogatif untuk menstrukturnya ikut yang mereka suka kerana organisasi ini di bawah kawalan mereka,” katanya, ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad diumumkan sebagai pengerusi Khazanah yang baharu, selepas perletakan jawatan secara sukarela oleh ahli lembaga pengarahnya minggu lepas.
Dalam pengumuman itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali turut dilantik sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah bersama Mohd Hassan Marican, dan Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin.
Mohd Hassan merupakan ahli majlis penasihat kerajaan, mankala Sukhdave merupakan bekas timbalan gabenor Bank Negara manakala Goh adalah pengarah di Maybank Asset Management Group Berhad.
Bekas perdana menteri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai pengerusi Khazanah pada 31 Mei selepas Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14. – 31 Julai, 2018
Komen