KETUA Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berharap ahli parti akan bertindak matang dengan memilih pemimpin berdasarkan rekod pentadbiran calon dan bukan sekadar terikut-ikut dengan tokoh tertentu.
Tegasnya, seramai 8,000 anggota parti itu harus mengambil teladan daripada pengundi yang membuat keputusan sendiri dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Katanya, mereka harus memilih berdasarkan pandangan sendiri dan tidak mengikut pemimpin tertentu seperti mengikut “gembala lembu” semata-mata.
“Saya amat berharap anggota parti boleh buat keputusan atas keputusan diri sendiri, bukan kerana terikut-ikut atau dipengaruhi.
“Saya nak tekankan anggota parti perlu buat pemilihan berdasarkan rekod prestasi seseorang individu atau calon dan tidaklah membuat pilihan calon itu berdasarkan kepala ketua macam gembala lembu, kalau dia ke kiri semua ke kiri,” katanya.
Katanya, walau wujud kem dalam parti itu ia tidak memberi kesan kepada semangat dalam parti.
“Pemilihan dalaman PKR mestilah ada pasukan macam kita dekat sekolah, ada Rumah Merah, Biru, Hijau, Kuning… Dalam semangat macam itu ia tidak jadi isu,” katanya lagi.
Pemilihan PKR kali ini dijangka akan menyaksikan pertembungan di antara calon timbalan presiden – Rafizi Ramli dan Azmin Ali, yang menyandang jawatan itu.
Rafizi pada Ahad lalu mengumumkan caon barisan kepimpinan yang ditawarkan oleh pasukannya, yang menggunakan slogan pasukan Reformasi 20 tahun.
Beliau meraih populariti dengan siri pendedahan melibatkan pemimpin kerajaan sebelum ini dalam skandal seperti projek ternakan lembu National Feedlot Corporation dan Felda Global Ventures.
Selain itu, Rafizi melalui NGO Invoke turut mendedahkan skandal melibatkan 1Malaysia Development Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan.
Azmin pula hanya akan menyatakan jawatan yang akan ditandinginya selepas pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos.– 31 Julai, 2018
Komen