JABATAN Kemajuan Orang Asli (Jakoa) diarahkan untuk memberi laporan segera berhubung kes melibatkan individu yang didakwa menyekat laluan di kampung Orang Asli di pedalaman Gua Musang.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa berkata tindakan individu dikaitkan dengan syarikat perladangan itu juga perlu diteliti bersama kerajaan negeri Kelantan dan Kementerian dalam Negeri (KDN.
“Kita akan minta laporan serta merta dan bincang dengan pihak terlibat seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negeri Kelantan.
“Kita mesti mengetahui apa punca masalah ini, apa punca perselisihan dan selesaikannya secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian itu perlu bersifat adil kepada semua pihak dan menambah tindakan menyekat pergerakan masyarakat itu tidak boleh diterima sama sekali.
Beliau mengulas pertembungan antara kumpulan individu dikaitkan dengan satu syarikat perladangan dan juga masyarakat Orang Asli di Kampung Kaleg di Pos Tohoi, Gua Musang
Kumpulan individu berkenaan bertindak balas dengan menyekat laluan keluar dari kampung tersebut kerana tidak berpuas hati dengan tindakan penduduk kampung yang menghalang mereka masuk ke kawasan hutan.
Penduduk berkenaan pada awalnya membuat sekatan itu bagi menghalang lori balak dan jentera berat daripada masuk ke kawasan hutan dara yang juga kawasan tadahan air utama negeri itu.
Kumpulan masyarakat itu mendakwa kemasukan lori balak dan jentera berat tersebut memusnahkan hutan simpan di hulu Kelantan yang menjadi sumber kehidupan mereka.
Sementara itu, pengerusi Jaringan Orang Asli Kelantan Mustafa Along berkata satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang mengenai halangan tersebut.
“Semalam polis turut mengarahkan syarikat mengosongkan sekatan yang didirikan mereka sejak dua hari lalu.
“Syarikat mengadakan sekatan di hadapan sampai kami tidak boleh keluar masuk, guru, pelajar juga tidak boleh keluar masuk,” katanya.
Wakil jurucakap Orang Asli yang turut hadir pada sidang media hari ini, Jimi Angah berkata tindakan pekerja ladang itu yang pertama kali seumpamanya berlaku kepada mereka. – 31 Julai, 2018.
Komen