Polis Thai tahan 3 rakyat Malaysia simpan 462kg ganja


DUA lelaki dan seorang wanita rakyat Malaysia ditahan polis Thailand di daerah Sadao berhampiran sempadan Malaysia-Thailand bersama-sama 462kg ganja, kata Ketua Polis Sadao Kol Sawad Sinsaenyong.

Beliau berkata ketiga-tiga rakyat Malaysia itu dan seorang wanita tempatan ditahan bersama dadah berkenaan di sebuah rumah di Lorong Songchai, Mukim Sanakkam pada kira-kira 5 petang semalam.

“Maklumat perisikan mempercayai rumah berkenaan digunakan oleh sindiket dadah yang besar di kawasan sempadan. Rumah berkenaan dimiliki oleh seorang pelabur Malaysia,” katanya, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah trak pikap berdaftar di Malaysia.

Katanya, dua lelaki warga Malaysia berumur 31 dan 43 tahun dan wanita Malaysia berumur 23 tahun serta wanita tempatan berumur 37 tahun itu mengaku mereka menerima dadah berkenaan di Hatyai dan menyimpannya di rumah berkenaan sebelum bertindak menyeludupnya ke Malaysia.

Katanya, dadah berkenaan disembunyikan dalam 11 karung guni seberat 42kg setiap satu. – Bernama, 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen