Lebih 500 pendaki selamat turun Gunung Rinjani di Lombok


Pendaki tempatan dan luar negara berjaya menuruni Gunung Rinjani semalam, selepas terkandas akibat gempa bumi melanda pulau Lombok, awal pagi Ahad. – Gambar EPA, 31 Julai, 2018.

LEBIH 500 pendaki dan malim gunung berjaya dikeluarkan dari gunung berapi Indonesia selepas kejadian gempa bumi yang meragut nyawa menyebabkan tanah runtuh hingga mereka terkandas di gunung itu, kata pegawai rasmi hari ini.

Runtuhan batu dan lumpur berlaku di Gunung Rinjani di Lombok dalam gempa bumi berukuran 6.4 skala Richter pada awal pagi Ahad, menyebabkan laluan pendaki di pergunungan itu terhalang.

Dianggarkan 560 pendaki terkandas dipercayai warga Amerika Syarikat, Perancis, Belanda, Thailand dan Jerman selain beberapa negara lain, menurut anggota mencari dan menyelamat.

“543 pendaki diselamatkan, mereka tiba malam tadi,” kata jurucakap agensi bencana negara Sutopo Purwo Nugroho.

“Ada enam lagi. Mereka sihat dan selamat.”

Pendaki dapat memulakan semula proses menuruni gunung itu selepas malim gunung menemui laluan alternatif yang tidak terjejas akibat tanah runtuh.

Kebanyakan pendaki tiba di kaki gunung lewat petang semalam, menurut jurucakap jabatan mencari dan menyelamat Mataram Gusti Lanang Wiswananda.

“Mereka kepenatan, tetapi dalam keadaan baik. Pasukan perubatan memeriksa mereka sebaik saja mereka tiba,” katanya.

Ratusan pendaki lain berjaya menuruni gunung itu pada Ahad.

Sekurang-kurangnya 16 terbunuh dalam gempa bumi itu yang berlaku di seluruh kepulauan peranginan Lombok, sementara ratusan bangunan musnah. – AFP, 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen