TENTERA Nigeria menyalahkan sekumpulan gelandangan yang berkumpul secara tiba-tiba dalam serangan udara yang membunuh 112 orang di kem penempatan mangsa konflik Boko Haram.
Pesawat tentera udara menyerang kem di Rann, timur laut Nigeria pada 17 Januari ketika pekerja bantaun mengagihkan makanan kepada pelarian di penempatan itu.
Komander ketika itu menyatakan pengeboman itu sebagai satu kesilapan dan menyalahkan “kekaburan peperangan”.
Lembaga siasatan Tentera Udara Nigeria melaporkan mengenai serangan pada awal Februari itu, yang turut mencederakan 100 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Jurucakap Pertahanan Mejar Jeneral John Enenche tidak memberi sebarang penjelasan berhubung penangguhan selama enam bulan dalam mendedahkan hasil siasatan.
Namun dalam kenyataan awal, dia menyalahkan “ketidakcekapan menanda kawasan” untuk serangan itu.
“Penduduk di penempatan itu tidak dijangka akan berkumpul di lokasi terbabit,” katanya mengenai kem menempatkan 20,000 hingga 40,000 orang yang melarikan diri daripada tentera.
“Lagipun, lokasi terbabit tidak menggambarkan pusat kemanusiaan dalam peta operasi.”
Enenche berkata, gelandangan berkumpul “berhampiran kem”. Ketika itu pekerja bantuan berkata bom jatuh hanya beberapa meter dari pejabat Palang Merah di kem berkenaan.
Enam pekerja Palang Merah antara yang terkorban dalam serangan itu.
“Kita sangat bimbang dengan kenyataan daripada tetera Nigeria,” kata kumpulan bantuan Doctor Without Borders.“Kem itu dikawal dan didaftarkan tentera di negeri Borno.”
“Kami mohon sekali lagi pihak berkuasa Nigeria dan semua pihak terlibat untuk memastikan keselamatan orang awam.”
Sebelum ini, pihak tentera menyalahkan kegagalan risikan membekalkan maklumat yang diberikan sebuah negara yang tidak dinamakan.
Enenche berkata, pejuang Boko Haram, yang diketahui aktif di kawasan utara negeri Borno menyerang orang awam. – AFP, 22 Julai, 2017.
Komen