SATU letupan di pusat pemeriksaan tentera di selatan Filipina membunuh sekurang-kurangnya lima orang pada Selasa, kata pihak berkuasa dalam serangan maut terbaru di kawasan bergolak itu.
Letupan berlaku ketika tentera dan militia pro kerajaan memeriksa sebuah van yang berhenti untuk diperiksa pada awal pagi, kata jurucakap tentera Leftenan Kolonel Gerry Besana.
Letupan kuat itu membunuh sekurang-kurangnya seorang tentera dan beberapa militia di pinggir bandar majoriti penduduk Kristian, Lamitan yang berada di salah sebuah pulau majoriti penduduk Islam, Basilan katanya lagi.
Pihak berkuasa sudah melancarkan siasatan punca letupan.
“Suspek meletupkan bom apabila merasakan dirinya akan ditangkap,” kata pegawai tempatan Mujiv Hataman kepada AFP.
Basilan adalah kubu kuat kumpulan Abu Sayaf yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda yang dipersalahkan kerana beberapa serangan maut di rantau ini.
Ia adalah antara beberapa kumpulan bersenjata menentang kerajaan di selatan Filipina yang sudah membunuh lebih daripada 100,000 orang.
Presiden Rodrigo Duterte baru-baru ini menandatangani undang-undang untuk memberikan autonomi lebih besar kepada penduduk Islam di selatan negara itu bagi menamatkan konflik. – AFP, 31 Julai, 2018.
Komen