Jumlah pekerja akhbar di AS turun 45%


Jumlah pekerja balai berita akhbar AS jatuh daripada 71,000 pada 2008 kepada hanya 39,000 pada 2017 menurut Biro Statistik Buruh. Penurunan jumlah pekerja balai berita akhbar adalah penyumbang terbesar kepada kejatuhan keseluruhan pekerja media di negara itu. – Gambar EPA, 31 Julai, 2018.

JUMLAH pekerja balai berita akhbar AS jatuh sehingga 45% sejak sedekad lalu, menurut tinjauan dikeluarkan Isnin.

Jumlah pekerja balai berita akhbar AS jatuh daripada 71,000 pada 2008 kepada hanya 39,000 pada 2017 menurut Biro Statistik Buruh memetik angka dikeluarkan Pew Research Center.

Penurunan jumlah pekerja balai berita akhbar adalah penyumbang terbesar kepada kejatuhan keseluruhan pekerja media di Amerika Syarikat, kata Pew.

Jumlah keseluruhan pekerja di balai berita- akhbar, radio, kabel dan televisyen serta media digital- turun 23% pada tempoh sama, daripada 114,000 pada 2008 kepada 88,000 pada 2017.

“Daripada lima industri yang dikaji, pertumbuhan pekerjaan yang nyata hanyalah berlaku dalam sektor berita digital,” kata Pew.

Jumlah pekerja berita digital meningkat 79% dalam tempoh sama, 7,400 pada 2008 kepada hampir 13,000 pada 2017, katanya.

Pew berkata jumlah pekerja stesyen televisyen-28,000- kekal stabil daripada 2008 sehingga 2017, begitu juga jumlah pekerja balai berita televisyen kabel- sekitar 3,000.

Balai berita radio pula hilang 27% pekerjanya, daripada 4,600 pada 2008 kepada 3,300 pada 2017, kata Pew lagi.

Akhbar AS dilanda pemberhentian pekerja besar-besaran sejak sedekad lalu kerana pengurangan edaran dan iklan.

Minggu lepas, New York Daily News, akhbar tabloid berusia sekurun lamanya dan terkenal kerana tajuk berita provokatif mengumumkan pembuangan separuh kakitangan editorialnya. – AFP, 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen