PEMBERONTAK Huthi di Yaman masih menggunakan peluru berpandu dan dron yang “menunjukkan ciri serupa” dengan senjata buatan Iran, kata laporan pakar PBB.
Dalam laporan sulit kepada Majlis Keselamatan, salinan laporan itu dilihat oleh AFP pada Isnin, panel berkata ia “terus percaya” yang peluru berpandu jarak singkat dan senjata lain masih dipindahkan dari Iran ke Yaman selepas embargo senjata api dikenakan pada 2015.
Iran berulang kali menafikan mereka membantu memberikan senjata kepada Huthi di Yaman, tetapi Amerika Syarikat dan Arab Saudi menuduh Tehran memberikan sokongan senjata kepada pemberontak.
Pemeriksaan terbaru ke atas senjata termasuk peluru berpandu dan kenderaan peronda tanpa pemandu (UAV) oleh pemberontak Huthi “menunjukkan ciri serupa dengan senjata yang diketahui dikeluarkan oleh Republik Islam Iran”, kata laporan setebal 125 muka surat itu.
Pada lawatan terbaru ke Arab Saudi, panel memeriksa serpihan 10 peluru berpandu dan menemui petanda ia berasal dari Iran, kata laporan berdasarkan kajian pada Januari hingga Julai tahun ini.
“Didapati walaupun embargo senjata bersasar, (pemberontak) Huthi terus mempunyai akses kepada peluru berpandu dan UAV untuk terus memperhebatkan kempen mereka terhadap KSA (Arab Saudi),” kata laporan itu.
Panel mendapati wujud “kemungkinan tinggi” yang peluru berpandu itu dikeluarkan di luar Yaman, dihantar ke negara itu dan dipasang oleh Huthi.
Dalam surat kepada panel, Iran bertegas yang peluru berpandu itu dikenali sebagai Burkan oleh Huthi adalah tambah baik domestik terhadap peluru berpandu SCUD dikeluarkan Yman sebelum bermulanya perang.
Pakar juga menyiasat maklumat yang Huthi menerima derma bulanan minyak dari Iran berjumlah AS$30 juta. Iran menafikan memberikan bantuan kewangan kepada Huthi.
Pada pemeriksaan itu juga, pakar yang diberi mandat oleh PBB mendapati penjana kuasa dikeluarkan syarikat Jepun dan komponen yang mempunyai kaitan dengan Rusia.
Siasatan masih diteruskan.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberitahu majlis dalam laporan berasingan pada Jun yang terdapat komponen dalam lima peluru berpandu ditembak ke arah Arab Saudi didapati dikeluarkan oleh Iran tetapi pegawai PBB tidak dapat menentukan sama ada komponen sama dihantar ke Yaman.
Panel juga sedang menyiasat tujuh serangan udara oleh tentera diketuai Arab Saudi yang mengenai bangunan awam, stesyen gas dan kapal komersial yang dilihat mencabul undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pemberontak Huthi juga dituduh menggunakan dan menanam periuk api pada skala besar.
Sejak 2015, Arab Saudi mengetuai kempen ketenteraan untuk menghapuskan pemberontak Huthi dan mengembalikan kuasa kepada kerajaan diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Konflik yang sedang berlaku menyebabkan hampir 10,000 maut di Yaman, PBB menganggapnya krisis kemanusiaan terburuk yang sedang berlaku di dunia sekarang. – AFP, 31 Julai, 2018.
Komen