EKSPLOITASI seksual adalah wabak yang membarah dalam sektor bantuan antarabangsa, dan kekurangan tindakan mengatasinya memburukkan masalah itu, lapor siasatan Parlimen Britain yang dikeluarkan pada Selasa.
Laporan eksploitasi dan penderaan seksual dalam sektor itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa dianggotai ahli Parlimen yang berkata peraturan sendiri organisasi antarabangsa gagal menangani isu itu.
“Tanggapan penuh adalah keselesaan, hampir kepada bersubahat,” kata laporan.
Wakil rakyat sedang menyiasat sektor bantuan susulan pendedahan awal tahun ini tentang skandal pelacuran di Haiti melibatkan kakitangan badan kebajikan berasal dari Britain, Oxfam.
Jawatankuasa berkata skala masalah itu sukar untuk ditafsirkan tetapi boleh dikatakan kes yang diketahui sekarang hanyalah kecil berbanding kes yang masih belum dibongkar.
“Eksploitasi dan penderaan seksual sedang berlaku dan ia merentas organisasi, negara dan institusi. Ia wabak dan berlaku sejak sekian lama,” kata laporan Parlimen itu.
“Penyampaian bantuan kepada orang dan masyarakat yang sedang berada dalam krisis menjadi medan berkumpulnya pemangsa seksual yang mengeksploitasi kelemahan sistem tadbir urus.”
Dalam kesimpulannya, laporan itu berkata tindak balas sektor bantuan antarabangsa untuk menangani isu adalah “reaktif, tidak lengkap dan lambat”.
Dilaporkan terdapat kegagalan kepimpinan kolektif dan sektor bantuan “menipu diri sendiri” dalam usaha mereka menangani isu tersebut.
Jawatankuasa mendesak pendaftaran pekerja bantuan global bagi menghalang pemangsa seksual bebas bekerja dalam sektor itu. – AFP, 31 Julai, 2018.
Komen