KEKURANGAN saintis dan penyelidik serta pembiayaan tidak mencukupi merupakan antara cabaran yang terpaksa dihadapi Pertubuhan Penyelidikan Pertanian dan Ternakan Kenya (KALRO), yang mempunyai misi untuk menjana dan mempromosi pengetahuan, teknologi serta inovasi demi kelestarian sektor pertanian dan ternakan negara.
Timbalan Ketua Pengarah KALRO bagi penyelidikan tanaman, Felista Makini, berkata kedua-dua isu telah menjejaskan penyelidikan yang cekap dan usaha memerangi penyakit serta serangga perosak di negara itu.
Beliau berkata demikian selepas petani di rantau Gunung Kenya mencela perkhidmatan minimum dan terhad para pegawai KALRO serta berkata mereka terpaksa mendapatkan khidmat dari wilayah lain.
Ketika ini, fasiliti KALRO di kaunti Embu mempunyai 20 saintis yang turut berkhidmat untuk petani di kaunti-kaunti bersebelahan seperti Kirinyaga, Meru, Nyeri dan Tharaka Nithi.
Makini berkata pertubuhan itu mempunyai sejumlah 500 saintis dan ia memerlukan tambahan 700 orang lagi untuk melaksanakan mandatnya dengan berkesan.
Beliau berkata pembiayaan penyelidikan yang tidak mencukupi telah mendatangkan kesan negatif terhadap usaha memerangi penyakit dan serangga perosak di Kenya.
Pakar turut mengutuk amalan pertanian tradisi berterusan di pihak petani meskipun terdapat kemajuan teknologi yang lebih produktif.
Petani di tanah gersang dan separa gersang (ASAL) Kenya telah digalakkan untuk mengusahakan tanaman tahan kemarau seperti ubi kayu dan sorgum atau betari. – Bernama, 30 Julai, 2018.
Komen