Tumpahan minyak kapal cemari laut Sweden


Sehingga petang Isnin, tumpahan minyak kian daripada kapal yang terkandas menghampiri kawasan pantai laut dan orang ramai dinasihatkan tidak berada berhampiran kawasan terjejas.– Gambar fail AFP, 30 Julai, 2018.

SEBUAH kapal terkandas di perairan di luar daerah Kalmar, Sweden menyebabkan berlakunya tumpahan minyak dan usaha mengawal kesan kebocoran sedang dijalankan, lapor Xinhua, memetik siaran televisyen SVT Sweden pada Isnin.

Sekurang-kurangnya 120 anggota dari beberapa agensi perkhidmatan kecemasan bertungkus lumus untuk menghalang tumpahan minyak daripada merebak.

Kapal itu membawa 400,000 liter minyak terkandas pada lewat malam Ahad. Menurut pengawal pantai, 7,000 liter minyak berjaya dikeluarkan setakat ini.

“Pengawal pantai terpaksa menggunakan pesawat untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berapa luas kawasan yang dicemari dengan tumpahan minyak dan arah pergerakannya,” kata pengurus stesen pengawal pantai Par-Ake Eriksson kepada SVT.

Menurut Eriksson, perancangan sekarang adalah untuk mengalihkan kapal itu ke kawasan laut terbuka bagi membolehkan pekerja penyelamat dan kapal-kapal lain mempunyai cukup ruang bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

Sehingga petang Isnin, tumpahan minyak kian menghampiri kawasan pantai laut dan orang ramai dinasihatkan tidak berada berhampiran kawasan terjejas. – Bernama, 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen