Putrajaya arah polis siasat kehilangan paderi, 3 aktivis


Noel Achariam

PUTRAJAYA menggesa pihak polis melihat kembali kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga aktivis sejak 2016.

Tiga aktivis yang hilang ialah Amri Che Mat serta Pastor Joshua dan isterinya, Ruth Hilmy.

Menteri Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata Putrajaya mengarahkan pihak polis menyiasat kes itu.

“Arahan sudah diberikan kepada pihak polis untuk melihatnya. Saya sendiri tidak dapat menerima kehilangan rakyat kita sendiri tanpa dapat dikesan.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka, sama ada hidup atau mati. Kita bertanggungjawab kepada ahli keluarga, untuk memberitahu mereka sebagai kerajaan baharu,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sedang menjalankan siasatan awam terhadap kehilangan empat individu itu untuk menentukan sama ada ia kes kehilangan melibatkan pihak berkuasa.

Apabila ditanya sama ada kertas siasatan akan dibuka semula, Liew berkata beliau menyerahkannya kepada pihak polis.

“Siasatan perlu dilakukan dan kami serahkan kepada pihak polis. Kami mahu mengetahui apa yang sedang berlaku.”
 
Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh 15 individu menaiki tiga SUV hitam. Penculikan, yang berlaku pada siang hari, seolah-olah sudah diselaras dengan baik.

Amri hilang pada malam 24 November di Padang Behor, Perlis dan Hilmy, paderi keturunan Melayu, dan isterinya Ruth, hilang pada 30 November 2016. – 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen