SEORANG pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kemungkinan sekolah untuk pelarian Palestin, kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), tidak dapat dibuka semula, sebagaimana dijadualkan akibat krisis kewangan, lapor agensi berita Xinhua.
Pengarah operasi UNRWA di Semenanjung Gaza, Matthias Schmale dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad berkata “terdapat unsur politik di sebalik bajet kewangan yang dikurangkan dalam belanjawan kami.”
“Saya tidak boleh berjanji sekolah akan dibuka semula pada 22 Ogos dan mungkin ditangguhkan sebulan lagi kerana krisis kewangan yang dihadapi. Amerika Syarikat berkata mereka tidak akan memberikan duit atas alasan politik,” katanya.
Kira-kira 1,000 pekerja UNRWA melakukan mogok umum di bandar Gaza kerana membantah tindakan pemberhentian baru-baru ini, yang diumumkan agensi itu.
“Kami mempunyai 1,000 pekerja dalam program kecemasan; 100 daripadanya akan hilang pekerjaan pada 1 September, 300 lagi kekal manakala 500 dipindahkan kepada sistem kerja sambilan.”
Sementara itu, ketua Kesatuan Pekerja UNRWA Amir al-Mesehal, mengumumkan 1,000 pekerja bakal mengadakan mogok lapar dalam beberapa hari lagi.
Amir berkata “tidak dapat dibayangkan bencana kemanusiaan yang akan melanda Semanjung Gaza sekiranya agensi itu berkeras dengan tindakannya ke atas pekerja Palestin.”
UNRWA menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira lima juta pelarian Palestin yang berdaftar di Jordan, Syria, Lubnan, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Perkhidmatan itu termasuk dari aspek pendidikan, penjagaan kesihatan, bantuan, perkhidmatan sosial, infrastruktur, kemah dan mikro kredit. – Bernama, 30 Julai, 2018.
Komen