PENUNTUT institut pengajian tinggi Tehran pada Ahad mengadakan tunjuk perasaan menentang pemeriksaan yang dijalankan agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di universiti di Iran, lapor agensi berita Xinhua.
Di Universiti Shahid Beheshti, penuntut berdemonstrasi sambil membawa sepanduk yang memaparkan saintis nuklear Iran yang telah terkorban sepanjang dekad yang lalu.
Demonstrasi sama turut diadakan di Universiti Teknologi Sharif, di mana pelajar membentuk rantai manusia sebagai simbolik.
Mereka menuntut pegawai kerajaan supaya menghalang anggota pemeriksa dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) membuat lawatan, yang turut mencetuskan kecaman daripada beberapa pegawai Iran.
Minggu lalu, Fereidon Abbasi, bekas ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI), mengecam pemeriksaan di dua universiti Iran baru-baru ini sebagai “tidak boleh diterima”.
IAEA yang memantau program nuklear Iran di bawah Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), di mana Tehran bersetuju untuk melaksanakan protokol tambahan kepada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear. – Bernama, 30 Julai, 2018.
Komen