SARAWAK menolak cadangan Pakatan Harapan (PH) negeri terhadap tawaran pembayaran minyak baharu dan ditambah baik, mengatakannya sebagai taktik untuk melengah-lengahkan masa.
Pengerusi PH Negeri, Chong Chieng Jen mengumumkan perjanjian baru itu pada sidang akhbar di Parlimen hari ini, dengan mengatakan royalti minyak dan gas akan dikekalkan pada kadar 5% dan Sarawak akan mendapat tambahan 20% daripada keuntungan minyak.
Bagaimanapun, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Abdullah Saidol mempersoalkan sama ada Chong layak untuk membuat tawaran itu, mengatakan gabungan di peringkat persekutuan dan negeri tidak “sependapat”.
“Ia kelihatan seperti Sarawak PH dan menteri persekutuan PH tidak berkomunikasi dengan baik serta tidak memberikan kredibiliti kepada perjanjian baharu PH,” kata Abdullah.
Beliau berkata sebelum kerajaan negeri mempertimbangkan perjanjian itu dengan serius, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad seharusnya secara rasmi membuat tawaran itu.
Tawaran PH asal adalah untuk 20% royalti minyak, 50% daripada semua cukai persekutuan yang dikumpulkan negeri dan autonomi dalam pendidikan serta perkhidmatan kesihatan.
Chong yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, hari ini berkata “ia juga dipersetujui dalam manifesto (pilihan raya PH) bahawa jika syarikat minyak dan gas tidak mampu membayar royalti 20% penuh, kerajaan persekutuan akan menampung kekurangan yang ada.”
Beliau berkata ini adalah “selaras dengan agenda autonomi negeri PH”.
Bagaimanapun, Abdullah menolak kemungkinan PH akan menampung kekurangan itu.
“Adakah anda benar-benar menjangkakan rakyat Sarawak akan mempercayai kerajaan persekutuan PH akan menampung kekurangan jika royalti 20% tidak boleh dibayar sepenuhnya?” soal Abdullah, yang meminta Chong agar “berhenti menghina rakyat Sarawak”.
“Nasihat saya kepada Chong dan pemimpin (kerajaan) PH; tolonglah rakyat Sarawak dengan mengesyorkan kepada PM untuk memberi royalti 20% yang bukan diperoleh daripada keuntungan tetapi daripada nilai pengeluaran,” katanya.
“Bilakah anda bercadang untuk berbuat demikian, daripada membazirkan masa datang dengan segala macam perjanjian temberang.”
Anggota Majlis Tertinggi dan Ketua Penerangan Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru, Bobby William, dalam satu kenyataan mengecam Chong kerana “bercakap seolah-olah beliau bukan lagi penduduk Sarawak” dengan bersedia berkompromi dengan hak negeri dalam menawarkan perjanjian baru itu.
“PH menjadikan ia kedengaran seolah-olah minyak dan gas negeri dan juga cukai jualan (yang dicadangkan) milik kerajaan persekutuan sepenuhnya dan yang jelas tidak sama sekali.” – 30 Julai, 2018.
Komen