India gugurkan kerakyatan 4 juta penduduk Assam


Aktivis membantah Rang Undang-undang Kewarganegaraan (Pindaan) 2016 untuk memberi kewarganegaraan atau hak kepada minoriti dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan di India pada 29 Jun. – Gambar AFP, 30 Julai, 2018.

KIRA-KIRA 4 juta nama penduduk di timur laut Assam dikeluarkan daripada senarai kewarganegaraan menerusi deraf yang dikeluarkan kerajaan pada Isnin, lapor Xinhua.

Deraf Daftar Nasional Warganegara (NRC) yang diterbitkan kerajaan persekutuan itu, mencetuskan kebimbangan mereka yang tidak tersenarai akan diusir.

“Siapa pun yang tidak mempunyai nama akan mendapat peluang dan masa yang cukup untuk memfailkan tuntutan, bantahan. Mereka yang dikeluarkan daripada senarai mempunyai pilihan untuk mengemukakan permohonan dalam talian di laman web atau pegi ke pejabat NRC Seva Kendra,” kata Ketua Pendaftar India, Shailesh.

Bagaimanapun, untuk mengawal kebimbangan dan mengelakkan keganasan, pegawai kerajaan mengatakan mereka yang tidak disenaraikan tidak akan segera diusir, sebaliknya boleh membuat permohonan serta rayuan untuk dipertimbangkan.

“Apa yang dilakukan jelas berdasarkan perintah Mahkamah Agung dan kerajaan tidak memainkan peranan dalam hal itu,” Menteri Dalam Negeri Rajnath Singh memberitahu Parlimen India.

“Seseorang yang namanya tiada dalam senarai akhir boleh pergi ke pejabat yang ditetapkan untuk membuat rayuan. Tiada tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa, oleh itu tidak perlu panik.”

Kebanyakan yang tiada dalam senarai ialah masyarakat Bengali - kumpulan minoriti di Assam.

Pegawai berkata daripada 32 juta pemohon (yang memohon pada 2015), hanya 28 juta nama disenaraikan dalam deraf itu.

Menurut NRC, 4 juta pemohon yang tidak mendapat tempat dalam deraf itu disebabkan gagal mengemukakan bukti identiti mereka.

Senarai daftar yang tidak dikemas kini sejak 1951 itu, perlu disemak semula, untuk mengenal pasti pendatang haram dari negara jiran Bangladesh. – Bernama, 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen