SEBUAH syarikat pengeluar peralatan dapur China pada Isnin sudah membayar pampasan bernilai sembilan juta dolar, memenuhi janjinya untuk membayar pelanggannya jika Perancis menang Piala Dunia.
Vatti, salah sebuah syarikat penaja pasukan Perancis itu membayar pampasan itu selepas Perancis membenamkan Croatia 4-2 pada pertandingan akhir di Moscow dua minggu lalu.
Menurut angka terbaru dikeluarkan Vatti, syarikat China itu sudah membayar- dalam bentuk tunai atau kad hadiah- lebih daripada 62 juta yuan.
Dan harga kemenangan Perancis yang terpaksa ditanggung Vatti masih belum dibayar sepenuhnya kerana banyak lagi tuntutan sedang diproses.
Jumlah pembayaran strategi pemasaran itu mencecah AS$12 juta.
Vatti diasaskan pada 1992 berjanji sebelum Piala Dunia berlangsung akan membayar balik pelanggannya yang membeli “Pakej Kejohanan” produk terpilih sekiranya Perancis menang.
Saham Vatti menjunam teruk apabila Perancis semakin mara dalam kejohanan itu, tetapi publisiti diterima syarikat itu tidak terjangkau.
“Jumlah pembayaran balik boleh jadi sangat besar, tetapi ia sudah dimasukkan dalam bajet tahunan kami. Ia tak akan beri kesan besar kepada syarikat,” kata wakil Vatti, Wang Zhaozhao sebelum ini kepada Jurnal Sekuriti China. – AFP, 30 Julai, 2018.
Komen