Paraguay perkenal kelas memandu kanak-kanak untuk kurangkan kemalangan


Kerajaan Paraguay memperkenalkan kursus memandu untuk kanak-kanak yang dijangka disertai pelajar sekolah dari seluruh bandar, dengan harapan dapat mendidik mereka mengenai peraturan lalu lintas. – Gambar AFP, 30 Julai, 2018.

PARAGUAY memperkenalkan satu kursus memandu untuk mengajar aspek keselamatan jalan raya kepada kanak-kanak, dalam usaha negara itu membantu generasi pemandu pada masa depan mengurangkan nahas jalan raya.

Kursus - lengkap dengan jalan raya dan kart, serta lampu isyarat dan tanda jalan - dijangka akan disertai pelajar sekolah dari seluruh bandar, dengan harapan dapat mendidik mereka mengenai peraturan lalu lintas.

Selain buku dan ujian, pusat itu turut menayangkan video pendek dan mereka boleh bermain dengan alat interaktif, yang membantu mengenali warna dan isyarat lalu lintas.

Kelas bermula dengan mendedahkan pelajar dengan situasi setiap hari, seperti menyeberang jalan raya serta mempelajari etika trafik dari perspektif pemandu serta pejalan kaki.

Ketua jabatan projek pendidikan sekolah, Carlos Aguilera memberitahu EFE, sebanyak 1,200 orang terbunuh dalam nahas jalan raya di Paraguay setiap tahun.

Beliau menambah sebanyak 14% mangsa adalah mereka dalam linkungan usia tujuh dan 16 tahun. – Bernama, 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen