HAMPIR setiap minggu seorang belia ditikam hingga mati di London setakat ini, menyebabkan pihak berkuasa Britain berusaha keras mencari jalan berkesan untuk menghentikan kekejaman yang semakin meningkat itu.
Seramai 27 individu berusia di bawah 25 tahun mati ditikam di London sejak awal 2017, menurut angka dikeluarkan pihak dewan bandar raya.
Jumlah membinbangkan ini boleh membawa kepada masalah lebih besar, menurut Patrick Green dari Ben Kinsella Trust, sebuah organisasi pendidikan yang dibentuk bagi mengenang mangsa remaja yang mati ditikam.
Polis mencatatkan lebih 12,100 serangan pisau yang menyebabkan 4,400 orang cedera antara April dan Mac tahun lalu, angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.
“Ramai mangsa tikam terselamat dengan kecacatan dan parut kekal. Kecacatan yang paling teruk yang tidak dilaporkan adalah trauma mental,” kata Green kepada AFP.
“Hakikat anda pulih tidak bermakna anda akan kembali kepada kehidupan normal,” katanya.
Berbeza dengan sebahagian besar persepsi, kebanyakan serangan tidak berkaitan dengan jenayah terancang. Tiga daripada empat kes melibatkan individu yang membawa pisau kerana percaya ia akan membuatkan mereka berasa lebih selamat.
Pengesan logam di sekolah
Satu cadangan untuk mengurangkan jenayah ini diumumkan pada Selasa oleh Menteri Dalam Negeri Amber Rudd, yang mahu mengharamkan pemilikan senjata terlarang seperti pisau zombie - pisau melengkung yang diilhamkan filem seram - dan buku lima besi di kawasan persendirian.
Sebagai sebahagian daripada perundingan terancang mengenai jenayah itu, kerajaan juga akan mengkaji sama ada mengenakan larangan membawa pisau di tempat awam dan sekolah untuk memasukkan universiti.
Datuk Bandar London, Sadiq Khan mengetuai program bernilai £7 juta (RM39 juta), yang menyenaraikan sekolah diberikan pengesan logam.
Dalam mengumumkan rancangan itu bulan lalu, beliau mengecam pemotongan peruntukan kerajaan yang dikatakan menyebabkan penutupan 30 pusat belia yang dapat menghentikan para pemuda terlibat dengan jenayah. – AFP, 22 Julai, 2017.
Komen