BEKAS perdana menteri Najib Razak memberi amaran yang Putrajaya akan kehilangan pendapatan sehingga RM44 bilion setahun sekiranya cukai kepenggunaan tidak diperkenalkan dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga perlu mencari jalan bagi menampung semula pendapatan yang hilang sekiranya gagal melaksanakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada 1 September depan.
“Ini komitmen oleh kerajaan Pakatan Harapan, mereka menjanjikan SST pada 1 September jadi rakyat menantikannya. Akan ada kesan serius dari segi hasil kepada kerajaan kerana tanpa GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dalam setahun kita kehilangan RM43, RM44 bilion.
“Kerajaan perlu mencari jalan untuk menampungnya, atau aliran tunai kerajaan akan terjejas teruk.
“Jadi saya merasakan kerajaan tidak ada pilihan selain memperkenalkan SST secepat mungkin,” kata Najib, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Sebaik sahaja mentadbir kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerajaan PH mengumumkan GST ditetapkan pada kadar sifar dan mengumumkan penguatkuasaan SST pada 1 September.
Kerajaan PH berharap akan dapat membentangkan dua rang undang-undang bulan ini untuk memansuhkan GST dan menguatkuasa SST. – 30 Julai, 2018.
MENYUSUL
Komen