PRK Balakong 8 September


Gan Pei Ling

Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood berkata tarikh 8 September ditetapkan untuk hari mengundi PRK Balakong, pada sidang akhbar hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Julai, 2018.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Balakong di Selangor akan diadakan pada 8 September, sementara hari penamaan calon ditetapkan 18 Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada sidang akhbar hari ini mengumumkan tempoh 21 hari ditetapkan untuk berkempen.

Timbalan pengerusinya Othman Mahmood berkata tarikh itu ditetapkan selepas mesyuarat khas hari ini.

Kerusi Balakong kosong pada 20 Julai susulan kematian penyandangnya daripada DAP, Eddie Ng dalam satu nahas jalan raya.

Speaker Selangor Ng Suee Lim secara rasmi memaklumkan kepada SPR tentang kekosongan kerusi itu pada 27 Julai.

Othman berkata satu pasukan penguatkuasaan akan ditubuhkan oleh SPR untuk memantau tempoh kempen.

Katanya, SPR juga akan menjemput persatuan masyarakat sivil, OKU Sentral sebagai pemantau tempatan.

Badan lain yang berminat untuk menjadi pemantau perlu membuat permohonan kepada SPR sebelum 8 Ogos.

Tiga kotak undi akan disediakan di 16 pusat mengundi di kawasan itu untuk mempercepatkan proses mengundi pada 8 September.

Othman berkata saluran mengundi ditambah daripada 100 kepada 129 untuk tujuan yang sama.

Masa mengundi juga dilanjutkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang, bukan 5 petang seperti ketika PRU14 pada 9 Mei lalu.

Pegawai Daerah Hulu Langat Rosli Othman dilantik sebagai pegawai pengurus PRK itu, dengan pusat penamaan calon dan pusat pengiraan undi dibuka di dewan utama pejabat tanah Hulu Langat.

Kos PRK itu dianggarkan sebanyak RM1.5 juta.

Daripada 62,219 jumlah pengundi berdaftar di Balakong setakat suku pertama 2018, hanya 31 ialah pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir.

Tarikh mengundi awal pada 4 September.

Pada PRU14, DAP menang 41,768 undi di kawasan majoriti Cina itu. PAS menang 6,230 undi dan MCA 5,874 undi. – 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen