PUTRAJAYA tetap akan menghentikan serta merta tajaan haji Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), walaupun wakil rakyat pembangkang merayu agar program itu diteruskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan itu diambil berdasarkan tanggungan kos dan kes siasatan berkaitan 1MDB yang masih lagi belum selesai.
“Kami mewarisi keputusan terdahulu dan terpaksa ambi sikap baru atas isu ini. Program tersebut tidak dilaksanakan pada 2018 kerana sumber dana daripada pihak berkaitan 1MDB yang masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya, ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mengulas rayuan dari Ahmad Maslan (BN – Pontian) agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan itu bagi membolehkan 1,200 jemaah menunaikan haji seperti dijadualkan.
“Saya bagi pihak 1,200 yang telah menerima surat tawaran daripada mantan perdana menteri pada ketika itu, mereka sebenarnya sudah bersedia untuk menunaikan haji, dan oleh kerana 1MDB ini masih lagi dalam siasatan seperti yang dinyatakan belum ada ketentuan yang pasti.
“Apa salahnya kalau kita berikan kuota untuk mereka teruskan pergi menunaikan haji, kemungkinan mereka boleh pergi dengan dana sendiri ataupun daripada keluarga mereka membantu.
“Kerana yang kita tawarkan itu adalah kepada imam-imam masjid dan pengerusi JKKK yang tidak pernah menunaikan haji sebelum ini,” kata Ahmad Maslan.
Mujahid bagaimanapun berkata, tidak adil untuk kerajaan meneruskan program itu kerana jemaah haji tersebut mengambil kuota jemaah lain.
“Walaupun mereka kata nak bayar sendiri, atas sebab semuanya bermula dari yayasan dan yayasan masih dibawah siasatan kita terus mengtakan kita tidak teruskan atas sebab tersebut, kuota itu pun kita ambil kuota orang lain, jadi tidak adil bagi kita,” katanya.
Sementara itu, Azeez Abdul Rahim (BN – Baling) dalam celahannya menafikan perkara itu dan menegaskan kuota jemaah haji tajaan Yayasan 1MDB adalah kuota khas yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
“Kuota yang dinyatakan diambil daripada 30,290 orang itu tidak tepat. Sebenarnya untuk kuota bagi tujuan ini memang (ahli Parlimen) Pekan (Najib) telah mendapat kelulusan khas,” katanya yang juga mantan oengerusi Tabung Haji.
Dalam jawapan selanjutnya, Mujahid menegaskan keputusan itu kekal memandangkan siasatan turut melibatkan yayasan berkenaan.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi kita telah buat keputusan bahawa semua yang disebut tadi di atas sifat Yayasan 1MDB. Jadi oleh kerana ia termasuk dalam siasatan, maka bila kita hentikan peruntukan untuk jemaah haji dari yayasan, ini bermakna keseluruhan nama 1,200 itu sudah pasti terbatal kesemuanya,” katanya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Januari tahun lalu berkata jemaah dalam program itu tidak mendapat haji mabrur kerana duit tajaan program tersebut haram kerana didakwanya dicuri Najib.
Sejak dilaksanakan pada 2011, sehingga 2017, seramai 5,711 jemaah haji menunaikan ibadah tersebut dengan jumlah tajaan sebanyak hampir RM57 juta. – 30 Julai, 2018.
Komen