Raja Melayu perkenan jawatankuasa tambah baik pentadbiran Islam


Jawatankuasa itu terdiri daripada lima ahli dilantik Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, dengan perkenaan Majlis Raja-Raja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2018.

RAJA-Raja Melayu telah memberi perkenan kepada pembentukan sebuah jawatankuasa tertinggi bagi menambah baik institusi Islam di peringkat Persekutuan dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Ahmad Sarji Abdul Hamid.

“Bagi tujuan penambahbaikan institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan, Raja-Raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai 2018 menjelang Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke- 249 telah berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan,” kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi: “Fungsi jawatankuasa ini antaranya adalah untuk mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan, bidang kuasa, serta keberkesanan agensi-agensi agama yang sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman Syariah di peringkat Persekutuan.”

Jawatankuasa itu terdiri daripada lima ahli dilantik Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, dengan perkenaan Majlis Raja-Raja.

Dr Afifi al-Akiti yang merupakan Felow Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford pula dilantik sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa.

Ahli lain jawatankuasa ialah Profesor Dr Mohd Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bekas mufti Johor Nooh Gadot dan bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Kenyataan turut menyebut yang jawatankuasa akan menerima memorandum dan akan menjemput cadangan semua pihak berkepentingan serta mengalu-alukan pandangan orang awam.

“Penubuhan Jawatankuasa Tertinggi ini dilihat selari dengan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Usaha ini amat wajar kerana ia kekal menghormati prinsip dan bidang kuasa Raja-Raja sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing, di mana institusi agama terus ditambahbaiki demi mempertahankan Islam, di samping terus menyebarluaskan nilai-nilai kesejagatan Islam di negara ini,” katanya.

Jawatankuasa itu akan menghantar cadangan tambah baik kepada Majlis Raja-Raja. – 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen