Zimbabwe mengundi kali pertama tanpa Mugabe


Kakitangan pilihan raya menguruskan proses mengundi dalam pilihan raya umum di Zimbabwe, hari ini. – Gambar AFP, 30 Julai, 2018.

RAKYAT Zimbabwe hari ini keluar mengundi dalam pilihan raya umum, kali pertama sejak pemimpin kuku besi, Robert Mugabe disingkirkan tahun lalu.

Pilihan raya bersejarah bagi negara di selatan Afrika itu menemukan Presiden Emmerson Mnangagwa, bekas sekutu Mugabe dalam parti pemerintah ZANU-PF, dengan pemimpin parti Pergerakan Perubahan Demokratik (MDC) Nelson Chamisa.

Kajian yang dijalankan ke atas 2,400 responden baru-baru ini oleh agensi Afrobarometer meletakkan Mnangagwa pada 40% dan Chamisa 37%, dengan baki 20% lagi belum membuat keputusan.

Mnangagwa, 75, yang menjanjikan permulaan baharu buat Zimbabwe dituduh terbabit dalam keganasan pilihan raya dan penipuan di bawah Mugabe, menjemput pemerhati antarabangsa, termasuk pasukan dari Kesatuan Eropah (EU) yang diharamkan sebelum ini. EU dijangka akan memberikan laporan awal pada minggu ini.

Chamisa, 40, yang menunjukkan prestasi hebat sepanjang kempen berharap dapat mendorong penduduk muda untuk mengundi ke arah perubahan yang memanfaatkan mereka. – AFP, 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen