Remaja Palestin lempang askar Israel, dibebaskan dari penjara


Remaja Palestin Ahed Tamimi berdiri bersama ibu bapanya pada sidang akhbar di Palestin, semalam selepas dibebaskan dari penjara atas kesalahan menampar tentera Israel. – Gambar AFP, 30 Julai, 2018.

REMAJA Palestin Ahed Tamimi keluar penjara semalam dan disambut oleh sejumlah besar penyokong selepas menjalani hukuman lapan bulan atas kesalahan menampar askar Israel, satu episod yang menjadikan gadis itu sebagai simbol kekuatan bagi rakyat Palestin.

Ahed, 17, dan ibunya Nariman, yang juga dipenjarakan kerana insiden itu, tiba di kampung mereka di Nabi Saleh di kawasan penempatan Tebing Barang, dan diserbu wartawan.

Mudah dikenali dengan rambutnya yang kemerahan, Tamimi memakai selendang gaya Palestin di lehernya, dan ada ketikanya nampak tenang dalam kekalutan ditemu bual dengan kamera mengekorinya.

“Penentangan akan berterusan sehingga penjajahan berakhir, dan sudah tentu banduan wanita dalam penjara semuanya kuat,” kata Ahed.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya dalam saya menjalani hukuman ini, dan juga sokongan daripada semua banduan.”

Bapanya, Bassem memeluk Ahed dan ibunya, ketika berjalan di sepanjang jalan di kampung itu sementara orang ramai melaungkan kata-kata semangat untuk kebebasan.

Pada sidang akhbar selepas itu, Ahed enggan menjawab soalan daripada media Israel kerana katanya, beliau dan keluarganya menerima liputan yang tidak adil selama ini.

Katanya, beliau bercadang untuk belajar bidang undang-undang.

“Sudah tentu saya gembira dapat kembali bersama keluarga. Tetapi rasa gembira itu hanya sebahagian saja kerana masih ramai banduan di dalam penjara,” katanya.

Ahed juga menziarahi pusara pemimpin Palestin, Yasser Arafat di Ramallah, sebelum bertemu dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas. – AFP, 30 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen