PEGUAM yang mewakili bekas pemimpin Serbia, Slobodan Milosevic yang didakwa atas tuduhan jenayah perang ditembak mati di Belgrade, kata polis pada Ahad.
Dragoslav Ognjanovic ditembak pada malam Sabtu di luar blok pangsapuri di mana beliau tinggal, pernah juga mewakili seorang pemimpin kanan kumpulan jenayah, lapor media Serbia.
“Polis sedang memburu orang yang membunuh peguam Dragoslav Ognjanovic dan yang mencederakan anaknya yang berusia 26 tahun di bahagian lengan,” kata pegawai polis Serbia.
Pihak berkuasa tidak mengaitkan pembunuhan peguam berusia 56 tahun itu dengan kerja-kerjanya untuk Milosevic atau Luka Bojovic, yang dilaporkan menerima hukuman penjara 18 tahun di Sepanyol kerana memiliki senjata.
Akhbar harian Vecernje Novosti berkata Bojovic merupakan salah seorang yang terlibat dalam pertempuran antara dua kumpulan dari Kotor di Montenegro yang menyebabkan beberapa orang mati.
Seorang lagi peguam Serbia, Vladimir Zrelec, yang mewakili pemimpin utama kumpulan terbabit telah dibunuh di Belgrade pada Disember 2015.
Presiden majlis peguam Serbia, Viktor Gostiljac berkata badan peguam di negara itu amat terkejut dengan kejadian pembunuhan itu.
Beliau meminta satu perjumpaan bersama menteri-menteri dalam negeri dan undang-undang untuk melindungi para peguam Serbia.
Ognjanovic berkhidmat dalam pasukan penasihat undang-undang Milosevic tetapi pemimpin Serbia itu mewakili sendiri dirinya di Tribunal Jenayah Antarabangsa yang menguruskan jenayah perang di Balkan pada 1990-an.
Milosevic meninggal dunia dalam penjara pada 14 Mac 2006. – AFP, 29 Julai, 2018.
Komen