PKR tak terkesan dengan PAS-BN di Sg Kandis, kata Dr Wan Azizah


Melati A. Jalil

Calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni (kiri) ada kewibawaan seorang ustaz untuk tarik pengundi Sungai Kandis, kata Presiden PKR Dr Wan Azizah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Julai, 2018.

PRESIDEN PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menepis sokongan terbuka diberikan PAS kepada calon Barisan Nasional (BN) Lokman Noor Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Beliau percaya calon PKR Zawawi Ahmad Mughni akan dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri itu.

Dr Wan Azizah yang menyertai kempen Zawawi di Andalas hari ini berkata parti Islam itu boleh menyokong mana-mana calon.

“Kami tak rasa (jejaskan sokongan rakyat kepada PKR).

“Saya fikir calon kita ada kewibawaan seorang Ustaz, yang diperlukan untuk menarik pengundi,” katanya kepada wartawan di bilik operasi PKR di Bukit Kemuning.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin PAS semalam yang secara terbuka memberikan sokongan kepada Lokman.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan pada ceramah malam tadi menggesa penyokong parti itu “mengajar” Pakatan Harapan dengan memberikan undi mereka kepada BN pada PRK Sungai Kandis.

“Kita tak mahu hanya tukar kumpulan jahilliyyah yang lain. Mereka telah gagal ikut prinsip Islam jadi kita kena ajar mereka,” katanya malam tadi.

“Kita perlu pastikan mereka kalah pilihan raya kecil ini. Bagaimana? Dengan undi lelaki di sini,” katanya merujuk kepada Lokman yang hadir di ceramah PAS di Kota Raja.

Ketua PAS Selangor Sallehen Mukhyi juga menggesa pengundi Sungai Kandis menyokong pembangkang.

“PAS tak bertanding, jadi siapa yang patut kita undi? Jawapannya adalah, PAS adalah pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri, pembangkang di Parlimen, jadi kita perlu undi pembangkang.

“Ia bukan soal menyokong BN atau Umno, tetapi pembangkang perlu diperkuatkan untuk periksa dan imbang kerajaan negeri,” katanya.

Lokman yang menentang Zawawi dan calon bebas, K Murthy hadir di majlis PAS malam tadi bersama sekumpulan penyokong Umno.

Antara pemimpin PAS yang berucap pada program “Bangkit Selangor” itu termasuklah Mohd Zuhdi Marzuki dan Khairuddin Aman Razali.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lepas. – 29 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen