BANJIR menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan puluhan ribu lagi terpaksa meninggalkan rumah mereka di seluruh Myanmar, kata pegawai kerajaan kepada AFP pada Ahad ketika hujan lebat kerana musim monson terus mengganas di lembah Mekong.
Gambar yang diedarkan menunjukkan kawasan pertanian tenggelam dalam air berlumpur sejauh mata memandang, dan hanya beberapa bumbung rumah dapat dilihat.
Ada mangsa yang diselamatkan daripada banjir besar oleh pasukan penyelamat menggunakan bot, sementara yang lain terpaksa mengharung air paras pinggang, membawa anak kecil bersama dan pada masa sama cuba menyelamatkan barangan berharga daripada dihanyutkan air.
“Lebih daripada 54,000 orang hilang tempat tinggal kerana banjir di seluruh negara,” kata pegawai Kementerian Kebajikan Sosial kepada AFP.
Pegawai mengesahkan lima orang terbunuh tetapi meramalkan angka korban akan terus meningkat.
Arahan perpindahan telah dikeluarkan di beberapa tempat di seluruh negara, 163 kem penempatan sementara juga diwujudkan untuk mereka yang hilang tempat tinggal di selatan, barat dan tengah negara itu.
Banjir di Myanmar berlaku ketika musim hujan lebat terus berlaku di rantau itu, membawa bersamanya arus deras yang juga menyumbang kepada tragedi empangan pecah di Laos minggu lepas yang menyebabkan puluhan maut dan masih hilang.
Myanmar dilanda banjir besar hampir setiap tahun dan pakar perubahan iklim dunia pada 2015 meletakkan negara itu di kedudukan utama yang terjejas dalam dunia kerana perubahan iklim dunia.
Pada 2015, lebih 100 maut dalam banjir di negara itu yang turut menyebabkan ratusan ribu hilang tempat tinggal.
Bencana alam terburuk di Myanmar adalah Taufan Nargis yang melanda pesisir negara itu menyebabkan lebih 138,000 maut atau hilang pada Mei 2008. – AFP, 29 Julai, 2018.
Komen