TENTERA Israel menahan dua warga Itali kerana melukis mural seorang remaja Palestin di dinding sempadan di Tebing Barat sebagai simbol bantahan, kata polis.
Lukisan sepanjang empat meter berhampiran Bethlehem di Tebing Barat itu menggambarkan Ahed Tamimi, 17, yang dibebaskan hari ini selepas dihukum penjara lapan bulan selepas menampar dua tentera Israel.
Semalam, polis di sempadan Israel menahan dua warga Itali dan seorang warga Palestin kerana disyaki merosakkan pagar keselamatan di kawasan Bethelehem.
“Ketiga-tiga mereka yang memakai topeng, secara haram melukis di dinding. Dan ketika polis sempadan cuba menangkap mereka, mereka cuba melarikan diri, tetapi berjaya dihalang tentera,” menurut kenyataan tentera.
Tamimi dan ibunya dijatuhi penjara lapan bulan oleh Mahkamah Tentera Israel selepas rayuan susulan kejadian pada Disember yang kata keluarga itu berlaku di halaman rumah mereka di Nabi Saleh di Tebing Barat.
Rakaman kejadian tular menyebabkan rakyat Palestin menganggapnya sebagai hero menentang penaklukan Israel.
Untuk rakyat Israel, Tamimi dianggap digunakan keluarganya sebagai umpan untuk mencetuskan provokasi.
Tamimi ditahan pada awal pagi 19 Disember, empat hari selepas kejadian. Beliau berusia 16 tahun ketika itu.
Ibunya, Nariman turut ditahan bersama-sama sepupunya, Nour yang dibebaskan Mac lepas. – AFP, 29 Julai, 2018.
Komen