Jangan kerana jawatan ahli majlis, Pemuda PKR lupa soal perjuangan


SEMUA sedia maklum kerajaan negeri Selangor sekali lagi telah berjaya memuktamadkan pelantikan ahli majlis yang berkelayakan dalam kalangan parti-parti Pakatan Harapan Selangor dengan pembahagian kerusi yang adil dan saksama serta menurut prosedur.

Bagi PKR, ini merupakan kejayaan yang besar untuk negeri Selangor di bawah menteri besar yang baharu, Amirudin Shari dan pujian perlu diberikan kepada Majlis Pimpinan Negeri Selangor yang dapat menyelesaikan pertikaian dalam kalangan ahli PKR.

Namun begitu, ada segelintir ahli cabang yang lupa pada perjuangan parti serta pengorbanan reformis terdahulu untuk membentuk suatu permuafakatan dalam kalangan ahli parti dan rasa hormat pada pimpinan.

Perkara ini telah menarik perhatian saya apabila cabang saya sendiri, yakni cabang Petaling Jaya Utara (Damansara), telah menghentam pimpinan parti dengan menuduh pembahagian kuota ahli majlis dipilih dalam kalangan kroni serta menuduh kononnya ada unsur pilih kasih dalam pemilihan ahli majlis di Selangor.

Bagi cabang PJU, saudara Syed Badli Shah Syed Osman yang merupakan pengarah Pilihanraya Cabang Petaling Jaya Utara (Damansara) adalah antara calon yang telah dicadangkan dalam kalangan sepuluh (10) orang anggota cabang PJU.

Tetapi setelah diperhalusi kriteria pemilihan oleh majlis pimpinan negeri Selangor seperti penglibatan dalam parti, jawatan dalam parti, latar belakang pendidikan serta kepakaran beliau, malangnya dalam keputusan akhir, beliau tidak berjaya dipilih menjadi ahli majlis mewakili cabang ini.

Dengan itu, saya sekeras-kerasnya menolak dakwaan beliau berkaitan wujudnya elemen pilih kasih, kronisme dan nepotisme dalam pemilihan yang dibuat oleh MPN Selangor.

Saya ingin mengambil kesempatan ini dengan memberi sedikit pencerahan bahawa cabang PJU hanya mempunyai dua kuota ahli majlis bagi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan satu kuota di Majlis Perbandaran Selayang.

Disebabkan kuota yang amat terhad, sudah tentu pihak negeri harus meneliti dengan cermat dan betul bagi melantik ahli majlis yang berkelayakan bagi mewakili cabang PJU. Saudara Syed Badli Shah ialah seorang ahli yg dilantik (jawatan lantikan) untuk jawatan dalam cabang PJU; beliau sendiri bukanlah menang bertanding untuk merebut jawatan di peringkat cabang PJU.

MPN Selangor telah memberi tanggungjawab kepada saya selaku ketua Pemuda PKR PJU dan juga turut menyandang jawatan bendahari Pemuda PKR Selangor. Selain saya, saudara Danny Chan Pak Kueng yang merupakan setiausaha cabang PJU dan Setiausaha Politik kepada Elizabeth Wong juga terpilih.

Untuk rekod, kami berdua merupakan calon kali pertama memegang jawatan ahli majlis bagi sesi pemilihan parti yang lepas.

Diharapkan penjelasan ini dapat meredakan sedikit sebanyak kebimbangan orang awam yang sedang memerhatikan gerak laku parti bertunjangkan reformasi ini.

Marilah bersama-sama kita merapatkan sebarang kerenggangan yang ada dalam saf bagi mengisi kemenangan berbekalkan mandat yang besar ini untuk terus menggalang agenda membangun bangsa. – 29 Julai, 2018.

* Anwar Nekhan adalah exco Pemuda PKR Majlis Pimpinan Pusat merangkap bendahari Pemuda PKR Selangor dan ketua Pemuda PKR Cabang Petaling Jaya Utara.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen