TENGAH Jepun dilanda taufan kuat pada Ahad, membawa bersamanya hujan lebat ke kawasan yang sudah dilanda bencana banjir dan tanah runtuh.
Taufan Jongdari berkelajuan 180 kilometer sejam membuatkan Ise di kawasan Mie dilanda tanah runtuh sekitar jam 1 pagi waktu tempatan, menurut agensi kaji cuaca negara itu.
Ia menjadi lemah selepas itu dan diturun taraf kepada ribut tropika menurut agensi itu lagi tetapi beberapa kawasan masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
“Kita sudah berada dalam keadaan kecemasan sejak bencana hujan” pada awal Julai, kata Koji Kunitomi, pegawai pengurusan bencana di Okayama, Jepun merujuk kepada bencana hujan maut bulan ini.
“Nasib baik, setakat ini, banjir baru tak berlaku,” katanya kepada AFP.
Ribut itu menyebabkan hujan lebat di timur Jepun bergerak ke barat pada tengahari Ahad, dan pihak berkuasa di barat Jepun sudah mengeluarkan arahan supaya penduduk berpindah sebelum hujan bertambah lebat.
Sekurang-kurangnya 19 orang cedera di enam kawasan, lapor agensi berita NHK.
Ribut itu bergerak melintasi kawasan barat Chugoku di mana rekod hujan turun pada awal bulan ini menyebabkan banjir dan tanah runtuh membunuh 220 orang.
Ini adalah bencana alam terburuk di Jepun sejak sedekad lalu, menjejaskan ribuan orang yang masih berlindung di pusat perlindungan.
Agensi kaji cuaca memberi amaran hujan lebat, tanah runtuh, angin kencang dan ombak besar dan menggesa penduduk berpindah.
Di Jepun, arahan pemindahan tidak wajib dan ramai rakyatnya memilih untuk tinggal di rumah menyebabkan mereka terperangkap apabila banjir dan tanah runtuh berlaku tiba-tiba.
Ada pengkritik mengatakan arahan pemindahan di Chugoku dikeluarkan terlalu lambat.
Jepun dilanda musim taufan sekarang dan ribut besar sering melanda ketika musim panas dan luruh. – AFP, 29 Julai, 2018.
Komen