Remaja Palestin tampar tentera Israel dibebaskan


Ahed Tamimi (kanan) dibebaskan dari penjara pada Ahad selepas lapan bulan dipenjarakan kerana menampar dua tentera Israel. – Gambar AFP, 29 Julai, 2018.

REMAJA Palestin Ahed Tamimi dibebaskan dari penjara pada Ahad selepas lapan bulan dipenjarakan kerana menampar dua tentera Israel, dalam kejadian yang dirakam video mengangkatnya menjadi simbol penentangan rakyat Palestin, kata jurucakap perkhidmatan penjara.

Assaf Librati memberitahu AFP yang Tamimi, 17, dan ibunya yang turut dipenjarakan kerana kejadian itu dibawa pihak berkuasa Israel dari penjara Israel ke pusat pemeriksaan masuk ke Tebing Barat, tempat mereka tinggal.

“Mereka baru tinggalkan penjara,” kata Librati.

Pihak berkuasa Israel memberikan maklumat berlainan pusat pemeriksaan mereka dibawa.

Mereka pada mulanya dijangka dihantar ke pusat pemeriksaan berhampiran bandar Palestin, Tulkarm di Tebing Barat tetapi kemudiannya ada petunjuk mendakwa mereka dibawa melintasi Rantis.

Tamimi dan ibunya dijatuhi penjara lapan bulan oleh Mahkamah Tentera Israel selepas rayuan susulan kejadian pada Disember yang kata keluarga itu berlaku di halaman rumah mereka di Nabi Saleh di Tebing Barat.

Rakaman kejadian tular menyebabkan rakyat Palestin menganggapnya sebagai hero menentang penaklukan Israel.

Gambarnya kini dilukis di pagar memisahkan Israel dan Tebing Barat. Presiden Palestin Mahmud Abbas memujinya dan media sosial dipenuhi dengan sokongan kepadanya.

Tetapi untuk rakyat Israel, Tamimi dianggap digunakan keluarganya sebagai umpan untuk mencetuskan provokasi.

Tamimi ditahan pada awal pagi 19 Disember, empat hari selepas kejadian. Beliau berusia 16 tahun ketika itu.

Ibunya, Nariman turut ditahan bersama-sama sepupunya, Nour yang dibebaskan Mac lepas. – AFP, 29 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen