PILIHAN raya Kemboja pada Ahad dijangka dimenangi Perdana Menteri Hun Sen selepas satu-satunya parti pembangkang dibubarkan tahun lalu, menjadikan ia negara satu parti.
Lebih 8 juta pengundi berdaftar akan mengundi pada pilihan raya umum keenam sejak PBB menaja pilihan raya pertama pada 1993, ketika negara itu keluar daripada peperangan sejak beberapa dekad lalu.
“Semua stesen mengundi dibuka pada pukul 7 pagi,” kata jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan kepada AFP.
Perdana Menteri Hun Sen, yang mentadbir sejak 1985, adalah bekas ahli rejim Khmer Rouge dan dilantik sebagai pemimpin dengan dukungan Vietnam pada 1980-an.
Parti Rakyat Kemboja (PKP) memenangi setiap pilihan raya sejak 1998 dan pemimpin berusia 65 tahun yang berkuasa selama 33 tahun, berbangga dengan keamanan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi di bawah pentadbirannya selama ini.
Penganalisis akan memerhatikan jumlah pengundi keluar, yang pada asasnya merupakan referendum mengenai populariti Hun Sen, selepas parti lawan Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) dibubarkan oleh keputusan Mahkamah Agung tahun lepas.
“Pilihan raya ini sangat penting bagi saya. Saya mengundi kerana saya mahu kebahagiaan, pembangunan dan keamanan untuk negara,” kata pengundi Im Chanthan, 54, yang mengatakan dia “gembira” membuang undi di stesen mengundi yang sama dengan Hun Sen.
Tidak puas hati dengan rasuah dan populasi generasi muda yang semakin bertambah tanpa kenangan terhadap Khmer Rouge membantu CNRP memenangi lebih 44% undi pada 2013 dan tahun lalu.
Kejayaan itu mendorong tindakan keras oleh Hun Sen, yang menuduh pembangkang CNRP terlibat dalam plot untuk menggulingkan kerajaan.
Polis menahan dan menuduh salah seorang pemimpin pembangkang dengan pengkhianatan dan Mahkamah Agung kemudian mengharamkan parti itu.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah menarik balik pembiayaan dan bantuan untuk pilihan raya, tetapi sekutu kuat Kemboja China memberikan sokongan. – AFP, 29 Julai, 2018.
Komen