Ramai masih samar makna sebenar Hari Sarawak


Desmond Davidson

Presiden Parti Reformasi Negeri Lina Soo berkata tarikh 22 Julai 1963 adalah detik di mana Sarawak diberikan kuasa memerintah dan bukannya kemerdekaan. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Juli 2017.

SARAWAK akan mengulangi sejarah 54 tahun lalu apabila bendera penjajah British, Union Jack diturunkan buat kali terakhir dan bendera merah, hitam dan kuning iaitu bendera pasca kolonial Sarawak dinaikkan dan berkibar megah tanpanya, hari ini.

Detik bersejarah itu berlaku pada tanggal 22 Julai 1963, di Pengkalan Batu iaitu di kawasan waterfront terkenal di Kuching.

Pada hari itu pada 1963, gabenor British, Sri Alexander Waddel menaiki kapal perang British bertentangan Astana dan membawa bersama bendera Union Jack dan berlepas ke Singapura sebagai langkah pertama perjalanan pulangnya.

Hari ini, tiada lagi Waddel atau kapal perang namun ia akan dilakonkan semula tepat di lokasi di mana bendera itu diturunkan.

Tahun ini akan menjadi kali kedua sejak lebih lima dekad “hari kemerdekaan” disaksikan secara rasmi.

Signifikan tarikh terbabit dalam sejarah Sarawak bagaimanapun tenggelam dengan sejarah Malaysia di mana 31 Ogos disambut sebagai Hari Merdeka walaupun tidak signifikan di Sarawak.

Ia tidak kekal begitu sehinggalah bekas ketua menteri Adenan Satem mengembalikan semula hak yang terhakis dan pematuhan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963,  ia diperkenalkan semula dan diberi “penghormatan” sewajarnya.

Adenan yang meninggal dunia kerana komplikasi jantung pada 11 Januari tahun ini – kurang setahun selepas memenangi pilihan raya negeri tahun lalu dan berjanji mendapatkan semula hak negeri, royalti minyak dan gas serta kedudukan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia – pada 2015 mengazetkan 22 Julai sebagai “Hari Sarawak”.

Majoriti masyarakat Sarawak hari ini masih kurang jelas dengan signifikan 22 Julai, berbelah-bahagi apa yang perlu digelar kepada tarikh bersejarah itu, adakah “Hari Sarawak” atau “Hari Merdeka”.

Aktivis hak negeri seperti Lina Soo berpendapat British tidak pernah memberikan kemerdekaan kepada Sarawak jadi ia tidak sesuai dipanggil “hari kemerdekaan”.

“Hanya hak pentadbiran sendiri diberikan kepada Sarawak pada 22 Julai 1963,” katanya Soo.

“Kerajaan nominal adalah pengakuan Britain terhadap hak rakyat untuk menentukan nasib sendiri dan permulaan kepada penubuhan Malaysia, tetapi bukanlah kemerdekaan negeri yang dikehendaki rakyat Sarawak.

“Untuk British berikan kemerdekaan kepada negeri jajahannya, ia memerlukan kelulusan Akta Parlimen di Westminster.

“Ia tidak pernah dilakukan untuk Sarawak,” kata Soo.

“Masa singkat pseudo kemerdekaan itu tidak bermakna buat Sarawak kerana hanya ada 56 hari pemerintahan sendiri yang pasti tidak cukup untuk mematangkan kerajaan dan politik.”

Beliau berkata Hari Sarawak adalah “tindakan dan politik yang dilakukan untuk menenangkan perasaan nasionalis yang kuat”.

Seorang lagi pembela hak negeri terkenal, Peter John Jaban, juga berpendapat apa yang berlaku pada hari ini 54 tahun yang lalu bukanlah pemberian kemerdekaan Sarawak.

“Ia hanyalah hari di mana Sarawak diberikan hak memerintah sebagai permulaan kepada perkara lebih besar – pembentukan Malaysia kurang dua bulan kemudian,” katanya yang juga menjadi tulang belakang kepada gerakan Sarawak For Sarawakians (S4S).

Sarawak for Sarawakians spokesman Peter John Jaban says awareness on the state's history is being raised by the grassroots movement. – The Malaysian Insight pic, July 21, 2017.

Jaban berkata walaupun tarikh itu “tidak penting”, namun “makna simbolik” di sebaliknya memberi makna.

“Ia simbol kerjasama Sarawak dalam negara baharu, bukan penaklukannya.

“Ia sebagai bukti kita membentuk Malaysia, kita tidak menyertainya. Ia bukti kita menandatangani perjanjian sebagai negeri berdaulat dan berhak ke atas hala tuju sendiri,” katanya.

Namun, signifikan tarikh itu mati dalam majoriti masyarakat Sarawak, terutamanya generasi muda.

“Hinggalah aktivis mula memberikan kesedaran sejak lima tahun lalu, banyak generasi muda Sarawak dan tua langsung tidak tahu kewujudan tarikh 22 Julai sebagai tarikh yang penting dalam sejarah negara,” kata Soo.

“Buku sejarah tidak menyebut mengenai tarikh ini.

“Keperluan menghantar pasukan perundangan untuk mengkaji maklumat di London tentang hak Sarawak mencerminkan kesuraman pengetahuan am mengenai apa sebenarnya yang berlaku pada 1960an berkaitan penjajahan di negara kita,” kata Soo merujuk kepada Sarawak cuba menghantar pasukan perundangannya ke London untuk mendapatkan dokumen mengenai perkara yang dipersetujui tetapi tidak ditulis dalam Perjanjian Malaysia.

“Kita perlu mendidik rakyat Sarawak terutamanya generasi muda agar lebih peka dengan apa yang kita sepatutnya dapat.

“Biar rakyat Sarawak tentukan masa depan Sarawak dan untuk generasi muda Sarawak meneruskan perjuangan ke atas hak kita,” katanya.

“Menurutnya, peristiwa bersejarah yang mempunyai kaitan dengan Sarawak perlu dicatatkan dalam buku sejarah sekolah dan diajar di sekolah.

“Sejak pendidikan diseragamkan, peristiwa signifikan sejarah Sarawak dipinggirkan, berbanding kurikulum sekolah lain.

“Atau mungkin, pendidik dalam sistem tidak mempunyai pengetahuan tentang Sarawak sejak awal lagi.”

Namun Soo percaya, Putrajaya tidak kisah sekiranya sejarah Sarawak diajar sekolah agar kesedaran mula timbul.

“Terima kasih kepada gerakan akar umbi untuk menilai semula kedudukan Sarawak di Malaysia,” kata Jaban.

“Bermula perarakan dan bantahan pada 16 September hingga 22 Julai, pergerakan ini menjadi arus perdana, yang dimulakan beberapa orang sejak beberapa tahun lalu.

“Kini ia dibawa ke peringkat kerajaan negeri yang mengadakan forum untuk membincangkan dan mempromosikan sejarah Sarawak dan Malaysia dengan lebih terbuka.” – 22 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen