KEGIATAN golongan Lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah isu yang lebih besar berbanding isu perkahwinan kanak-kanak, kata peserta di satu demonstrasi pro-Islam dan Melayu.
Peserta yang ditemui The Malaysian Insight ini berpendapat, tindakan individu mengahwini kanak-kanak itu tidak melanggar undang-undang – tidak seperti kegiatan LGBT.
“Sekurang-kurangnya perkahwinan kanak-kanak itu menyelamatkannya dari kemiskinan dan sebagainya, LGBT itu nak selamatkan apa?” kata peserta himpunan yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Pah, 49.
“Mana lebih buruk, kahwinkan anak secara sah atau gejala songsang LGBT,” soal Kak Pah kembali.
Beliau merupakan antara kira-kira 1,000 orang yang hadir menyertai Himpunan Kebangkitan Ummah bersama pemimpin Umno dan PAS di Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur.
Kira-kira 10 orang tokoh politik dan NGO yang berucap di perhimpunan itu juga membangkitkan juga membangkitkan agensi Mara, pilihan raya kecil Sungai Kandis dan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Isu yang paling meruntun jiwa kalangan peserta perhimpunan tersebut adalah kegiatan golongan LGBT.
Namun mereka memandang sepi isu perkahwinan kanak-kanak, yang melibatkan lebih 10,000 kes bagi orang Islam sepanjang 10 tahun lalu.
Menurut seorang lagi peserta, isu itu, seperti kes perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun pada Jun lalu hanya diperbesar-besarkan golongan tertentu.
“Mereka sengaja cuba membesar-besarkan isu itu sedangkan ianya isu terpencil jika dibandingkan dengan LGBT,” kata Mohd Zahid Abd Ghani, 48.
Mohd Zahid menjelaskan, himpunan berkenaan juga mempertahankan perkahwinan kanak-kanak di bawah umur, sebaliknya melihat isu itu sengaja digembar-gembur oleh kumpulan tertentu yang membangkitkan isu hak asasi manusia.
“Bukan kita nak galakkan, tapi (perkahwinan kanak-kanak) berlaku mungkin kerana keluarga ada masalah dan perkahwinan itu boleh membantu,” katanya.
Seorang lagi peserta perhimpunan, Mohd Affandi Ismail, 27, berpendapat, isu berkenaan juga sengaja dipromosikan kerana ingin memperlihatkan sisi negatif Islam.
“Golongan hak asasi manusia ini juga yang mempromosikan gejala seks songsang, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan dan sebagainya.
“Tetapi mereka juga sengaja besar-besarkan (isu perkahwinan bawah umur) untuk tunjuk Islam itu seolah-olah mengeksploitasi kanak-kanak dan wanita, sedangkan LGBT itu penderaan sebenar,” katanya.
Seorang lagi peserta wanita, Kak Mie, 48, berpendapat, selagi mana perkahwinan kanak-kanak itu dipersetujui keluarga dan individu itu sendiri, ia tidak seharusnya menimbulkan sebarang masalah.
“Lagipun suami dia hanya boleh tinggal bersama apabila kanak-kanak itu dah berumur 16 tahun, tiada masalah sepatutnya,” katanya.
Antara tokoh utama yang hadir di perhimpunan itu adalah bekas menteri Rais Yatim, calon BN untuk pilihan raya kecil Sungai Kandis Lokman Noor Adam dan ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Pemimpin PAS yang hadir adalah ketua penerangan Nasruddin Hassan, setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan ahli jawatankuasanya Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.
Himpunan itu antara lain menuntut kerajaan PH mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu, bahasa kebangsaan, menangani gejala LGBT, dan keadilan ekonomi bagi komuniti itu.
Ia turut disertai NGO pro-Melayu dan Islam termasuk Perkasa dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).– 29 Julai, 2018
Komen