Protes petanda sokongan terhadap Pakatan menurun, kata Najib


Melati A. Jalil

Bekas perdana menteri Najib Razak turun padang buat kali kedua untuk berkempen di Sungai Kandis hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2018

PROTES berhubung dakwaan ancaman kepada kepentingan Melayu-Islam hari ini merupakan petanda sokongan kepada Pakatan Harapan semakin menurun, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib yang juga bekas presiden Umno berkata, ramai orang Islam dan Melayu sedar situasi dalam negara hari ini, dengan kritikan mendakwa kedudukan Islam dan hak Melayu serta institusi membabitkan masyarakat Melayu terancam.

“Disebabkan ini, mereka bangkit dan menunjukkan kemarahan mereka bahawa rakyat tidak gembira dengan perkembangan ini. 

“Ini merupakan petanda sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan menurun, berdasarkan apa yang mereka telah lakukan sejak 9 Mei,” katanya kepada pemberita di Jalan Kebun hari ini.

Najib yang menyertai kempen calon Barisan Nasional Lokman Noor Adam bagi pilihan raya kecil Sungai Kandis, diminta mengulas berhubung bantahan terhadap kerajaan PH mengenai perkara melibatkan kepentingan Melayu-Islam di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru. 

Perhimpunan Kebangkitan Ummah hari ini dihadiri oleh 1,000 orang yang mewakili 20 nasionalis Melayu dan kumpulan hak Islam. 

Lokman, yang dikritik kerana memainkan sentimen kaum dan agama, turut hadir pada perhimpunan itu. 

Antara pemimpin PAS dan Umno yang turut hadir termasuk Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. 

Berhubung kehadiran pemimpin veteran Umno Rais Yatim pada perhimpunan itu, Najib berkata isu berkenaan penting kepada bekas menteri yang diiktiraf sebagai pejuang bahasa Melayu. 

“Kredibilitinya akan dipersoal sekiranya beliau tidak hadir atau bersuara berhubung perkara itu secara terbuka,” kata Najib. 

Ini merupakan kali kedua Najib turun padang berkempen untuk Lokman, yang menentang calon PKR Zawawi Ahmad Mughni dan calon bebas K. Murthy pada pilihan raya yang akan berlangsung 4 Ogos depan.

Ini merupakan pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum 9 Mei berikutan kematian penyandang kerusi DUN itu Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu. 

Pada Mei, Shuhaimi memenangi 23,998 undian dengan majoriti 12,480. Calon BN Kamaruzzaman Johari mendapat 11,518 undi manakala calon PAS Yusof Abdullah mendapat 7,573 undi. Calon PRM Hanafiah Husin hanya mendapat 76 undi daripada 50,800. – 28 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen