SEORANG rakyat Palestin maut ditembak di kawasan kejiranan timur Baitulmaqdis pada Jumaat selepas berlaku pertempuran, kata kementerian kesihatan Palestin, menjadikan ia kematian kedua dalam tempoh sehari.
Pembunuhan itu berlaku di kawasan timur Baitulmaqdis, A-Tur, katanya.
“Seorang rakyat Palestin terbunuh akibat serangan di A-Tur di kawasan yang diduduki di Baitulmaqdis,” kata kementerian itu.
Kementerian itu awal hari ini melaporkan seorang lagi rakyat Palestin dibunuh dengan senjata api di timur Baitulmaqdis, namun tidak memberikan butiran lanjut bagaimana insiden itu berlaku.
Polis Israel berkata, mereka sedang menyiasat kedua-dua insiden itu.
Pertempuran antara pasukan keselamatan Israel dan penduduk Palestin tercetus sekitar kawasan bandar lama Baitulmaqdis pada Jumaat berikutan langkah keselamatan yang ketat di kawasan itu.
Rusuhan pada Jumaat itu berlaku selepas menteri Israel memutuskan untuk tidak mengarahkan pengesan logam yang didirikan di pintu masuk ke kompleks Masjid Haram al-Sharif ditanggalkan berikutan serangan minggu lalu yang membunuh dua anggota polis.
Dalam protes itu, polis Israel menghalang lelaki berusia bawah 50 tahun memasuki bandar lama Jerusalem untuk solat, sementara semua wanita dibenarkan masuk. – AFP, 21 Julai, 2017.
Komen