Sarawak luluskan pembinaan empangan hidroelektrik Trusan


Desmond Davidson

Empangan Bakun di Sarawak merupakan antara penyumbang terbesar tenaga elektrik untuk memenuhi permintaan industri di negeri itu. – Gambar AFP, 21 Julai, 2017.

SARAWAK akhirnya meluluskan pembinaan empangan hidroelektrik 275 megawatt (Mw) di Sungai Trusan di utara Lawas.

Ketua Menteri Abang Johari Openg memberi kelulusan itu ketika Brunei menyatakan minat untuk membeli bekalan elektrik “murah” dari Sarawak bagi kegunaan rumah dan industri ringan di kawasannya di Temburong yang terletak di antara Limbang dan Lawas.

Bercakap pada majlis sambutan Hari Raya Sarawak Energy Berhad (SEB) di Kuching hari ini, Abang Johari berkata Sabah turut menyatakan minat yang sama untuk membeli kuasa hidro daripada negeri itu.

Katanya pembinaan empangan itu akan bermula dalam “beberapa tahun lagi”, namun sebelum ini pernah berkata negeri itu akan mula membekalkan kuasa ke Brunei seawal 2019.

SEB mula membekalkan 230Mw tenaga elektrik ke Kalimantan Barat iaitu 275Kv talian menghubungkan Mambong di Sarawak ke Bengkayang di Kalimantan Barat.

Empangan Trusan adalah kecil berbanding tiga lagi empangan di negeri itu – Bakun dengan kapasiti 2,400Mw, Murum (944Mw) dan Baleh (1,285Mw).

Pengerusi SEB Hamed Sepawi memberitahu media, Sultan Brunei menunjukkan minat apabila ketua menteri mengiringi Gabenor Abdul Taib Mahmud ke Brunei untuk menyambut hari keputeraannya.

Katanya selain meraih tukaran wang asing, kuasa hidro yang murah akan meringankan kos SEB untuk menjana bekalan elektrik di Limbang dan Lawas.

Hamed berkata SEB menggunakan diesel untuk menjana kuasa elektrik dan kerugian RM100 juta setahun untuk subsidi kepada pengguna di dua kawasan itu.

“Kos diesel adalah RM1 per kilowat jam dan pengguna hanya membayar 28 sen per kilowatt jam. Kita beri subsidi 72 sen per kilowatt jam”.

Hamed berkata, kos untuk per kilowatt jam boleh dikurangan bawah 20 sen dengan kuasa hidroelektrik.

“Penjimatan itu saja cukup untuk membenarkan pembinaan empangan itu.”

“Jika Brunei mahu, ia bagus untuk kita. Selagi wang masuk ke negeri ini, ia penting untuk kita.”

Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hassan berkata Brunei setuju untuk membeli 100Mw elektrik dengan pilihan untuk beli lagi 50Mw 10 tahun lalu.

Hamed berkata, dia terkejut dengan pengumuman ketua menteri itu dan syarikat utiliti negeri boleh mengkaji semula apa yang mereka lakukan 3 hingga 4 tahun lepas.

“Kita perlu lebih banyak kajian.”

Empangan Trusan merupakan salah satu daripada 12 empangan hidroelektrik negeri yang dicadangkan pembinaannya untuk menepati keperluan industri di negeri itu dan permintaan dari negara jiran.

Sementara Empangan Bakun dan Murum sudah beroperasi, kini kerja untuk empangan Baleh pula baru bermula.

Ia dijadualkan siap pada 2015.

Terdahulu dalam ucapan au-aluan, Hamed berkata SEB menyasarkan untuk menghasilkan 7,000Mw menjelang 2026 bagi memenuhi permintaan industri di negeri itu.

Katanya, pertumbuhan pesat industri di kawasan industri Sarawak, yang dikenali sebagai Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score), menyaksikan permintaan tenaga meningkat tiga kali ganda kepada lebih kurang 3,400 MW hari ini daripada kira-kira 1,000Mw satu dekad yang lalu. – 21 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen