Rakyat Rusia bantah kenaikan had umur pencen 


Rakyat Rusia berhimpun menyatakan bantahan mereka terhadap pembaharuan pencen yang menambah had umur pencen kepada 63 tahun bagi wanita dan 65 tahun untuk lelaki.– Gambar EPA, 28 Julai, 2018.

PULUHAN ribu rakyat Rusia mengambil bahagian dalam perhimpunan di seluruh negara itu bagi membantah rancangan kontroversi untuk meningkatkan had umur pencen.

Di Moscow, penganjur berkata hampir 10,000 orang berhimpun bagi menentang pembaharuan yang disokong kerajaan itu, yang kini dibawa ke parlimen negara berkenaan. Namun menurut pemerhati, jumlah peserta adalah jauh lebih rendah berbanding apa yang didakwa pengajur terbabit.

Bantahan berlangsung di beberapa bandar utama dan pekan di timur Rusia dan Siberia. Sekitar 1,200 orang berhimpun di bandar Novosibirsk, lapor agensi berita negeri TASS, memetik kenyataan dewan bandaraya.

Peserta bantahan tu melaungkan “Putin pencen!” dan membawa sepanduk dengan slogan termasuk “Kami mahu hidup dengan pencen kami dan bukan mati bekerja.”

Bantahan umum terhadap pembaharuan yang disokong oleh parti memerintah yang diterajui Vladimir Putin menyaksikan 2.9 juga petisyen bantahan ditandatangan.

Putin, yang tidak menyebut tentang isu pencen menjelang pemilihan semula pada Mac, menyaksikan kepercayaan terhadapnya jatuh 64% bulan ini, menurun daripada 80% pada Mei, menurut undian negeri VTsIOM.

Draf undang-undang itu menggesa umur pencen dinaikkan kepada 63 tahun bagi wanita dan 65 untuk lelaki, yang mana ia meningkat daripada era Soviet 55 tahun bagi wanita dan 60 tahun bagi lelaki.

Putin pada minggu lalu berkata, beliau tidak suka dengan cadangan kenaikan umur pencen namun tidak melakukan apa-apa, dan menambah “kita perlu mengambil beberapa keputusan penting”.

“Puluhan ribu rakyat Rusia berkumpul untuk membantah pembaharuan pencen ini,” kata pemimpin Parti Komunis Gennady Zyuganov.

“Ini merupakan satu tamparan kepada rakyat di negara kita.” – AFP, 28 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen