HUJAN ribut musim monsun mencetuskan bencana banjir dan kejadian bangunan runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 49 orang di utara Uttar Pradesh, India sejak Khamis, kata pegawai.
Beberapa mangsa maut ditimpa runtuhan bangunan, sementara yang lain lemas, direnjat elektrik atau terbabit dalam kemalangan jalan raya disebabkan hujan, kata pegawai pengurusan bencana.
Dengan kebanyakan rumah rosak, pihak berkuasa di Uttar Pradesh - yang menempatkan kira-kira 220 juta orang - diletakkan dalam langkah berjaga-jaga dan mengarahkan penduduk mengosongkan bangunan yang berisiko runtuh.
Hujan turut melanda New Delhi dan barat Rajasthan yang menjadi tumpuan pelancong, di mana 11cm hujan dilaporkan turun dalam 24 jam di daerah Bharatpur pada Jumaat.
Sungai Yamuna di New Delhi melepasi paras bahaya 204 meter pada Sabtu, memaksa pihak berkuasa mengeluarkan arahan berjaga-jaga. Paras air sungai tersebut dijangka akan terus meningkat, kata kerajaan Delhi.
Bangunan runtuh adalah perkara biasa di seluruh negara, lebih-lebih lagi ketika musim monsun yang berlaku dari hujung Jun hingga September.
Pejabat meteorologi memberi amaran hujan lebat di seluruh kawasan utara India untuk lima hari berikutnya.– AFP, 28 Julai, 2018.
Komen